Selasa, 25 Mei 2010

Allah Tegah Judi! - Ustaz Zaharuddin Ab Rahman

PERJUDIAN adalah sejenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam, malah turut dilarang agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan seorang timbalan menteri yang menyatakan pertimbangan dibuat untuk meluluskan lesen perjudian bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia yang akan datang.

HUJAH BELIAU Beliau dirakam oleh akhbar tempatan sebagai berkata: “Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).” BANTAHAN DAN RASIONAL Pengeluaran lesen atas alasan untuk mengawal dan mengetahui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mesti lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukan dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala itu, tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terbabit dengannya.

ANALOGI Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin membenarkan perkara yang tidak benar. Bolehkah atas alasan mengetahui jumlah sebenar dan mengawal MAT REMPIT yang merempit secara haram, KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mat rempit di atas JALAN RAYA AWAM.

Semua mat rempit mesti mendaftar dan membayar yuran untuk merempit. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap’ untuk dijadikan ‘terang’ tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukan meraikan dan meluluskannya. Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam: 
  • Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya yang sering diserbu selain diharamkan oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah-olah ingin membenarkan skim terbabit, perjudian adalah satu daripada jenis skim cepat kaya yang sering membawa kepada kayap; 
  • Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumah tangga. Pergaduhan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya; 
  • Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian, khususnya secara dalam talian, dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen diberi oleh kerajaan manakala perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan;
  • Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bola sepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya gembira untuk melihat pasukan yang disokong. Kini, bakal menjadi taksub dan tertekan kerana keputusan perlawanan membabitkan wang pertaruhan 
  • Mendorong rakyat memfokus kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa teknik, namun akhirnya kerugian saja yang lebih kerap menjelma. Masakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yang kalah;
  • Kesan buruk kekalahan boleh menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergeseran rumah tangga, kesan psikologi di tempat kerja, mungkin dikejar lintah darat dan banyak lagi;
  • Pemberian lesen itu seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak terdorong untuk berjudi kerana ia adalah aktiviti gelap dan salah di sisi undang-undang. Namun akibat lesen itu, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.

NASIHAT 

Sedarilah tegahan Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90) Justeru, saya berharap pihak berkuasa agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika pihak berkuasa agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami selaku ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujah keharusan itu.

Perlu difahami, hujah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks al-Quran dan hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu Qat’ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka.

Paling minimum di blog dan laman web rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi’i: “Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama) namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya).” (al-Asbah wa al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292) Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma’ berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata-kata kerana apabila orang politik melakukannya, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik.

Kita perlu mereka yang lain juga supaya bersuara, supaya Allah SWT meredai usaha kita.

Sumber: Harian Metro

Rabu, 12 Mei 2010

Parlimen Perancis luluskan resolusi haramkan pakai purdah

PARIS 12 Mei - Penggubal undang-undang Perancis sebulat suara meluluskan satu resolusi semalam yang menegaskan pemakaian purdah adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan yang diasaskan negara itu.

Resolusi tersebut yang diluluskan dengan 434 undian tanpa sebarang bantahan, merupakan persediaan asas bagi cadangan mengharamkan pemakaian purdah di tempat awam termasuk di jalan-jalan.

Seorang penggubal undang-undang turut membandingkan wanita Islam yang berpakaian demikian sebagai 'hantu' dan 'keranda bergerak'.
Gambar : AHLI-ahli Parlimen Perancis bertepuk tangan semasa meraikan keputusan meluluskan resolusi pengharaman pemakaian burqa di Paris, kelmarin. Perancis akan menjadi negara Eropah kedua selepas Belgium berbuat demikian. - AFP

Rang undang-undang yang menggesa pengharaman global terhadap pemakaian purdah bakal dikemukakan ke Parlimen pada Julai depan. Satu teks draf berkaitan akan diteliti semula oleh Kabinet pada 19 Mei ini.

Resolusi itu mendapat tajaan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dijangka mempunyai peluang besar mendapat kelulusan Dewan Undangan Negara dengan pesaing parti kerajaan, Sosialis membelakanginya walaupun mementingkan kandungan undang-undang dibuat kerajaan sebelum ini.

"Kebebasan wanita membawa kita ke tahap sekarang ini. Adakah kita akan berkata tidak jika gejala merendahkan wanita dilakukan di jalanan," soal seorang penggubal undang-undang dari parti Sarkozy yang juga bekas Menteri Hak Wanita Perancis, Nicole Ameline.

Kritikan teruk dibuat pihak tertentu terhadap kerajaan Perancis dalam tempoh hampir setahun lalu berhubung isu pengharaman pemakaian purdah yang dikeluarkannya.

Pihak penentang berkata, keseluruhan proses itu menunjukkan sikap prejudis Perancis terhadap umat Islam yang dianggarkan memiliki lima juta penduduk Islam iaitu terbesar di Eropah barat.

Golongan penentangnya juga mendakwa gesaan pengharaman yang dibuat itu adalah helah politik kerana hanya 1,900 wanita memakai purdah dianggarkan di negara berkenaan. - AP

Sumber : Utusan Malaysia

"Malaysia bukan masyarakat judi" - Dr Asri

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri.

Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu.

Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.

Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.

Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi.

Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi.

Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama.

Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen.

Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen?

Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mei 9, 10
5:52pm

Sumber: Malaysiakini

Jumaat, 7 Mei 2010

Polemik burqa di eropah

AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan.

Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.

Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya.

Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia.

Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.

Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.

BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.

Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.

Perancis

Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula.

Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.

Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.

"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.

Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.

Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.

"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.

"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.

Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.

Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.

"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.

Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.

Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.

"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.

"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.

Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.

Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud.

Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.

"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.

Keselamatan

"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.

Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.

Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.

Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik.

TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.

Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.

"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.

"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.

Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.

Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.

"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.

WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.

"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.

Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.

"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya.

Sumber: KOSMO