Sabtu, 16 Februari 2013

PUNCA HATI MENJADI KERAS



Di Antara amalan yang sangat dianjurkan menurut pertimbangan agama ialah amalan batiniah yang dilakukan oleh hati manusia. Hati merupakan hakikat manusia, sekaligus menjadi proses kebaikan dan kerosakannya. 
 
Apabila hati seseorang itu sudah menjadi keras, maka ia susah hendak memahami dan mengamalkan tuntutan agama, malahan mereka tidak akan menerima kebenaran walaupun mereka mengetahui hakikat kebenaran. Sebagai contoh ramai orang tidak solat walaupun mereka mengetahui kewajipan solat.  Betapa ramai remaja yang mendedahkan aurat mereka di khalayak ramai sedangkan mereka mengetahui kewajipan menutup aurat. Antara sebab kerasnya hati seseorang itu ialah:

* Tertipu dengan keseronokan dan tipu daya dunia yang hanya sementara.

 Orang yang kurang cerdik akan menjadikan dunia sebagai matlamat kehidupan mereka. Sedangkan dalam Islam, matlamat kehidupan seseorang individu itu ialah akhirat yakni untuk mencari keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

* Silap memilih kawan sehingga mereka berkawan dengan orang-orang fasik
. Seseorang itu akan berada pada agama kawannya. Sekiranya ia berkawan dengan penjual minyak wangi maka sekurang-kurangnya ia juga akan berbau wangi, begitu juga sekiranya ia berkawan dengan tukang besi sekurang-kurangnya ia akan terkena percikan bunga api.

* Berterusan melakukan maksiat atau dosa tanpa ada usaha untuk bertaubat.
 Setiap kali seseorang itu melakukan satu dosa maka Allah akan titikkan dengan satu titik hitam pada hatinya. Sekiranya ia bertaubat maka titik hitam itu akan ditarik balik, tetapi sekiranya ia tidak bertaubat maka pada akhirnya seluruh hatinya akan dilitupi oleh kegelapan & tidak nampak kebenaran atau hidayah yang diturunkan oleh Allah SWT.

*Dalam Shahih Bukhari & Muslim disebutkan Nabi SAW bersabda,
Ketahuilah sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati.”

Disediakan oleh :
Unit Research & Development (R&D),
Unit Pengetahuan & Bimbingan,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2012/2013.