Selasa, 13 Julai 2010

Di Mana Maruah Artis Kita?

Oleh : Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah
pustakahilmi@yahoo.com

“Saya tidak gadai maruah”. Itulah jawapan seorang artis wanita apabila ditanya tentang adegan lakonan beliau berpelukan dengan seorang artis lelaki yang menunjukkan beliau kelihatan seolah-olah seperti dicium oleh artis lelaki tersebut. Alasannya mudah sahaja. Ketika itu beliau berpakaian lengkap dengan seluar Jeans dan baju T-shirt. Bagi beliau, apa yang dilakukan olehnya adalah perkara biasa sahaja. Oleh itu, tidak ada apa yang perlu beliau kesal dan sesalkan.

Memang betul, apa yang dilakukan oleh artis wanita tersebut hanyalah lakonan semata-mata, dan kita juga percaya bahawa beliau tidak pernah melakukan adegan bercuim tersebut, malah adegan tersebut dilakukan dengan menggunakan muslihat kamera (camera trick) seperti yang beliau jelaskan. Namun persoalannya, adakah adegan berpelukan tersebut belum lagi mencapai tahap yang dikatakan sebagai menggadai maruah ? Adakah keadaan pahanya yang berada di atas paha artis lelaki tersebut juga dilakukan secara muslihat kamera ?

Ya ! Setiap orang memang berhak menentukan definisi maruah bagi diri mereka sendiri. Mungkin bagi sesetengah orang, berpakaian mandi di kolam renang dan tepi pantai bukanlah sesuatu yang patut dimalukan kerana pakaian yang dipakai tersebut sesuai dengan tempat dan suasana. Namun bagi sesetengah pihak pula, pakaian mandi tetap dianggap menjolok mata, lalu tidak sesuai dipakai oleh wanita muslimah, walau di mana sahaja mereka berada, kecuali di tempat tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum wanita dan kanak-kanak sahaja.

Isu ini sebenarnya adalah isu lama yang muncul dalam bentuk yang baru. Sebelum ini pun ada artis wanita yang berlakon di tepi pantai dengan hanya berpakaian mandi ala artis-artis Hollywood. Ada pula yang berkemban sehingga menampakkan paha dan belahan dada. Malah, ada juga artis lelaki yang meniru lakonon Mr. Bean dengan menampakkan kepada penonton bahawa beliau seolah-olah sedang bertelanjang bulat. Adakah aksi-aksi seperti ini tidak dianggap sebagai menggadai maruah ?

Nampaknya sebelum kita pergi lebih jauh lagi dalam isu ini, kita perlu memastikan terlebih dahulu kayu ukur yang sepatutnya kita gunakan dalam menentukan makna “menggadai maruah” itu sendiri. Hal ini kerana selagi kita berbeza dalam menentukan kayu ukur tersebut, maka selagi itulah kita tidak akan selesai dalam membicarakan isu-isu yang berbangkit, dan selagi itulah juga kita akan terus berbalah tentang perkara yang sepatutnya kita selesaikan.

Sebagai sebuah negara Islam yang sedang mempromosikan prinsip-prinsip Islam Hadhari, sudah pastinya kita mahu melihat prinsip Islam Hadhari yang kelapan, iaitu Keutuhan Budaya dan Moral turut mewarnai dunia seni dan hiburan tanah air. Oleh itu, kuyu ukurnya di sini adalah ajaran-ajaran agama Islam, khususnya bagi artis-artis yang beragama Islam, dan nilai-nilai moral dan peradaban timur yang tinggi bagi artis-artis yang bukan beragama Islam.

Mungkin ada yang bertanya ; “Kalau itulah kayu ukurnya, maka susahlah bagi orang-orang filem untuk cari makan?”. Apa tidaknya, banyak pantang larang yang terpaksa dipatuhi. Tidak boleh bercium, dan tidak boleh berpeluk-pelukan. Malah adegan berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan juga tidak boleh ditonjolkan. Lalu bagaimanakah seseorang pengarah boleh menimbulkan perasaan kasih sayang, cinta, kemesraan, kebahagiaan, dan sebagainya dalam filem dan drama yang mereka arahkan jika adegan-adegan tersebut tidak dibolehkan.

Lalu ada di kalangan pelakon yang meluahkan perasaan kurang senang dengan kenyataan Mawi yang meletakkan syarat tidak mahu berpegangan tangan dengan pelakon wanita dalam filem Aduh Saliha. Ada yang memberi alasan mencari rezeki bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka tersebut, dan ada pula yang mengatakan tidak mengapa kerana mereka bukannya mahu berseronok melalui lakonan sebegitu, tetapi lebih kepada menghayati watak dan menghidupkan lakonan. Lagipun adegan-adegan tersebut hanya meliputi sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan drama atau filem.

Walau apa pun alasan yang diberikan, kejayaan sesebuah filem atau drama sebenarnya lebih banyak terletak kepada kreativiti seseorang pengarah. Bagi menghasilkan filem yang mengisahkan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan ?

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasululullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di manakah susahnya? Yang pentingnya, penonton memahami mesej yang hendak disampaikan.

Pernahkah anda menonton filem Lion of The Disert. Walaupun pengarah dan barisan pelakon utamanya tidak beragama Islam, mereka berjaya menghasilkan filem tersebut tanpa perlu menonjolkan adegan-adegan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Hasilnya tetap memuaskan, jauh lebih baik berbanding filem Leftenan Adnan, Embun, dan Paloh. Malah, di akhir filem tersebut ada penonton yang mengalirkan air mata.

Sehubungan itu, penulis merasakan bukanlah suatu masalah yang besar bagi M. Nasir untuk menghasilkan Aduh Saliha walaupun terpaksa akur dengan syarat yang dikenakan oleh Mawi tersebut. Berpegangan tangan sebenarnya bukanlah suatu slot yang sangat penting dalam sesebuah filem atau drama. Tanpa adegan tersebut pun sesebuah filem dan drama masih boleh menyampaikan mesejnya kepada para penonton. Dan jika terpaksa sekalipun, tangan pelakon tambahan (yang bukan beragama Islam) boleh digunakan seperti yang selalu kita lihat dalam drama bersiri Mutiara Hati.

Justeru itu, perasaan kasih sayang, cinta, kemesraan, kebahagiaan, kegembiraan, kesedihan, dan sebagainya tidak semestinya ditonjolkan melalui adegan berpelukan di ranjang, berpegangan tangan secara ghairah, kendong-mengendong, berdakapan sambil menepuk belakang, berbaring di atas riba, usap-mengusap rambut, mandi bersama di perigi secara berkemban, dan adegan-adegan yang seumpamanya. Banyak lagi alternatif lain yang boleh digunakan bagi menyampaikan mesej yang sama kepada penonton.

Ambil negara Iran sebagai contoh. Dulu pun industri perfileman di Iran lebih kurang sama dengan negara ini, malah mungkin lebih teruk lagi. Namun selepas Iran diperintah oleh Ayatollah Khomeini, pemerintah Revolusi Islam Iran itu telah meletakkan syarat-syarat yang ketat bagi kelulusan sesebuah filem yang hendak ditayangkan sehingga menyebabkan industri perfileman Iran lumpuh buat seketika.

Namun penggiat-penggiat filem di negara itu tidak berputus asa dalam menghasilkan filem-filem yang memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh pemerintah. Hasilnya sekarang ini filem-filem Iran telah berjaya menembusi festival-festival filem, sama ada di rantau Asia mahu pun antarabangsa. Bagaimanakah agaknya penggiat-penggiat filem negara ini jika mereka juga berada dalam situasi yang sama?

Dalam hal ini, dunia perfileman tanah air nampaknya memerlukan individu-individu yang berjiwa besar bagi mengorak langkah ke arah suatu perubahan yang besar, khususnya perubahan pemikiran dan hala tuju dalam industri ini. Perubahan tersebut mestilah bermula dari atas, iaitu daripada pembuat dasar dan pegawai-pegawai di kementerian dan jabatan yang terlibat, iaitu Kementerian Kesenian dan Warisan, serta Finas, sehinggalah kepada penerbit, pengarah, pelakon, pengarah fotografi, penulis skrip, pengarah muzik, juru solek, dan semua krew yang terlibat dalam menjayakan sesebuah filem.

Penulis tidaklah bermaksud supaya kita meniru bulat-bulat apa yang berlaku di Iran, tetapi penggiat-penggiat filem di negara ini mestilah berusaha membina identiti filem kita sendiri. Kita tidak mahu filem-filem kita hanya dikenali melalui jenaka murahan, cinta muda-mudi, pergolakan rumah tangga, dan hantu pontianak sahaja, tetapi filem kita mestilah pergi lebih jauh daripada itu, iaitu filem sebagai medium dakwah dan pendidik masyarakat.

Oleh itu, sudah sampai masanya industri filem di negara ini diselamatkan daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Para pelakon pula hendaklah disedarkan tentang peranan mereka sebagai duta bagi memperkenalkan negara ini dan gagasan Islam Hadhari ke seluruh pelusuk dunia melalui lakonan yang mantap, hidup, dan berkesan, bukannya melalui lakonan yang boleh diistilahkan sebagai ‘berani malu’.

Sekiranya usaha-usaha seperti ini tidak dilakukan melalui sekarang, kita bimbang suatu hari nanti terdapat artis negara ini yang bercakap tentang maruah dan harga diri, sedangkan ketika itu beliau hanya mengenakan coli dan bikini sahaja ! Malah lebih membimbangkan lagi jika maruah dan harga diri sudah tidak ada dalam kamus hidup mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan