KEISTIMEWAAN SYARIAT ISLAM
Hakikat kehidupan manusia pada hari ini, mereka sangat memerlukan kepada suatu prinsip yang dikenali sebagai undang-undang ataupun peraturan, sama ada yang telah ditetapkan oleh sang pencipta kepada setiap hambaNya, mahupun yang direka sendiri oleh manusia. Era global dan arus semasa membuatkan manusia tertanya-tanya apakah masih relevan untuk diaplikasi peraturan Islam, atau mereka hanya perlu bergantung dan percaya kepada peraturan yang direka sendiri oleh kemampuan manusia yang terbatas.
Syariat Islam mengajar manusia erti sebenar sifat kehambaan diri kepada Penciptanya, serta menjauhkan diri daripada sifat takabbur. Peristiwa umat terdahulu telah menjadi bukti yang kukuh terhadap kesan buruk akibat menolak syariat Islam. Undang-undang Islam ini menitik-beratkan nilai ketuhanan, kemanusiaan serta keadilan yang tiada tolak bandingnya, disamping memiliki keistimewaan yang tiada pada peraturan ciptaan manusia.
1. Rabbani : Segala hukum-hakam di dalam syariat Islam telah jelas disusun Allah SWT, Tuhan sebaik-baik pencipta, sebaik baik pentadbir dan tuhan bagi sekalian alam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan denganNya”.
2. Universal : Cara hidup manusia tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan jelas menolak ketaksuban, penindasan, dan kasta. Akan tetapi, manusia itu sama dan yang membezakannya adalah taqwa. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
3. Lengkap : Syariat Islam merangkumi segala aspek kehidupan manusia bermula dari penciptaan manusia, kemudian dari sudut kemasyarakatan dan individu, kemudian dari sudut pegangan seperti aqidah, ibadah dan akhlak, undang-undang umum dan jenayah, kaedah ekonomi, hubungan kenegaraan atau apa yang berkaitan pemerintahan, serta optimis kepada masyarakat yang maju. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan kami turunkan kepada kamu kitab Al-Quran menjelaskan tiap- tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan bagi orang Islam”.
4. Pembaharuan (Tajdid) : Menerima pembaharuan mengikut keadaan semasa, kemajuan zaman dan tempat. Seperti contoh hukum-hakam muamalat, masalah undang-undang, ekonomi, dan hubungan dengan luar negara. Akan tetapi, tidak semua sudut undang-undang Islam menerima pembaharuan. Perkara yang telah jelas dalilnya termaktub dalam Al-Quran, seperti perkara aqidah, rukun Iman dan Islam, bab pengharaman arak, jenayah, tetap mengikuti kaedah peraturan yang Allah tetapkan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil”.
5. Bandingan Dunia dan Akhirat : Syariat Islam sangat menitik-berat aspek kehidupan manusia, tidak hanya mengejar dunia, bahkan menjadikan akhirat sebagai tujuan utama. Syariat ini jelas membezakan keperluan manusia dalam menetapkan tujuan hidupnya di dunia ini, tidak seperti para rahib dan penganut agama selain Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah, dan mendirikan solat, dan membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari (Kiamat) yang di hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang”.
6. Bandingan Kepentingan Peribadi Dan Awam : Disamping perjalanan hidup manusia di muka bumi, aspek keperluan setiap individu hidup bermasyarakat merupakan fitrah yang diciptakan Allah SWT. Oleh itu, syariat menggariskan panduan keperluan setiap individu tersebut ialah, hak kebebasan, hak pengetahuan, hak persamaan, hak pemilikan, dan hak kemuliaan. Keperluan bermasyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga agama Islam itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lainya, mereka menyuruh membuat kebaikan dan mencegah berbuat kejahatan”.
7. Mudah : Islam merupakan pegangan yang sangat utuh dan tidak boleh dipertikaikan, kerana segala undang-undangnya tidak membatasi keupayaan manusia dan tidaklah ditanggung berat oleh makhluk sekalian alam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.
8. Penyempurnaan : Syariat Islam datang sebagai menyempurnakan syariat-syariat umat terdahulu dan menyempurnakan dakwah para nabi dan rasul. Ia merupakan syariat yang terakhir dan disempurnakan oleh nabi yang terakhir, iaitu junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang Telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang Telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa”.
9. Asli dan Kekal : Sumber syariat Islam adalah sumber yang tulen serta kekal. Perkara ini dibuktikan dengan kehebatan Al-Quran yang tidak boleh dipesongkan dan tiada setaraf dengannya. Al-Quran dan As-Sunnah menjadi teras dan sumber utama dalam syariat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan kamilah yang menjaganya”.
10. Adil : Syariat Islam menghukum manusia dengan adil dan saksama, dari segi harta, nyawa, akal dan harta benda. Islam tidak membimbing manusia kepada aspek keperluan akhirat sahaja, bahkan mejadikan dunia sebagai medan persediaan menuju akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak pula yang dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus”.
*Rujukan daripada kitab karangan Syekh Abdullah Nasih Ulwan :
“الإسلام شريعة الزمان و المكان”
Disediakan Oleh : Unit Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Pelajar – pelajar Johor di Mesir 2014/2015