Sabtu, 14 April 2012

Kejadian Gempa Bumi Di Aceh



ACEH, 11 April – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, mencetuskan panik di kalangan penduduk yang bergegas keluar dari kediaman masing-masing bimbang tsunami pada 2004 berulang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, tiada kecederaan dan kerosakan harta benda dilaporkan akibat bencana itu yang berlaku pada kira-kira pukul 4.38 petang waktu tempatan. “Tidak ada ancaman tsunami, walaupun kita berjaga-jaga,” katanya pada sidang media.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami di kawasan sekitar Lautan Hindi, namun memaklumkan ancaman itu telah berkurangan tetapi ia masih dikuatkuasakan. Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik itu kemudiannya menarik balik amaran tsunami di Lautan Hindi tidak lama kemudian.

‘‘Ia (gempa) tidak membawa tsunami yang besar. Namun, kita masih memantau keadaan itu kerana tsunami terbentuk menerusi ombak,’’ kata seorang Geofizik, Victor Sardina yang beribu pejabat di Hawaii.

Satu lagi gempa kuat 8.8 skala Richter dilaporkan berlaku di daerah Simeulue, Aceh kira-kira pukul 5.43 petang ini (6.45 waktu Malaysia). Ia merupakan gempa susulan kejadian pertama yang berlaku pukul 3.38 petang di daerah yang sama. Sebelum itu, gempa susulan dengan kekuatan 6.5 skala Richter turut berlaku pada pukul 4.28 petang.

Di Thailand, tsunami kecil berukuran 10 sentimeter melanda kawasan Koh Miang dekat Phang Nga. Indonesia, Thailand, Malaysia, Sri Lanka dan India yang pernah terjejas akibat tsunami ekoran gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 2004 kemudiannya bertindak mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa berlaku.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak. Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang. Walaubagaimanapun, amaran Tsunami yang dikeluarkan bagi negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak telah ditarik balik pada pukul 10 malam, kata Jabatan Mateorologi Malaysia (JMM).

-Utusan Malaysia, 11 dan 12 April 2012-



PMRAM cawangan Johor, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) prihatin terhadap kejadian gempa yang berlaku di luar pantai Sumatera. Kami berdoa agar penduduk-penduduk Aceh dan kawasan sekitarnya terselamat dari bencana-bencana yang tidak diingini terus berlaku. Semoga tanah air kita, Malaysia dan Negara-negara lain yang turut merasai gegaran sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat Allah.

Walaupun kejadian Tsunami besar tidak berlaku, tetapi ingatlah bahawa bencana alam seperti gempa bumi yang berlaku juga merupakan salah satu tanda kiamat hampir berlaku.

عن أبي هريرة أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: (لا تقوم الساعة حتى يقبض العلم و تكثر الزلزال و يتقارب الزمان و تظهر الفتن و يكثر الحرج و حتى يكون فيكم المال فيفيض) رواه البخاري



Disediakan oleh:

Unit Kebajikan dan Tabung Derma, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2011/2012