Selasa, 13 Mac 2012

AZAN DAN IQAMAH DALAM KONTEKS MENGGANGGU PERSEKITARAN


Azan dan iqamah merupakan lambang syiar Islam. Azan dilaungkan bertujuan untuk menandakan masuknya waktu solat. Namun tidak dinafikan , masyarakat zaman ini telah dirosakkan pemikirannya sehingga mereka berfikir bahawa laungan azan merupakan perkara asing dari budaya Ummah. Hal ini terjadi kerana ramai di kalangan umat Islam sendiri tidak mengetahui sejarah pensyariatan azan dan hukum-hukum berkaitannya. Justeru, pihak Akademi Tutorial BKPJM 11/12 mengambil inisiatif untuk mengkaji dan membahaskan isu ini.
Azan dari segi bahasa bermaksud memberi tahu. Manakala dari segi syara’ maksudnya ialah memberi tahu masuknya waktu solat dengan lafaz-lafaz yang tertentu. Azan disyariatkan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dalilnya Firman Allah Taala,”Wahai orang-orang yang beriman apabila telah diseru untuk melaksanakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”. Selain itu, Baginda Rasulullah S.A.W. telah bersabda, “Jika tiba waktu solat maka azanlah salah seorang di antara kamu”.
Kitab al-Feqhu ‘ala Mazahibul Arba’ah karangan Imam Abdul Rahman Al-Juzairi ada menyatakan tentang sebab pensyariatan azan. Azan disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Selain itu, disebutkan juga bahawa sesiapa yang mengingkari pensyariatan azan, hukumnya jatuh kafir. Ketika Baginda Nabi Muhammad SAW sampai di Madinah, waktu solat sedang masuk. Mereka bermesyuarat mengenai kaedah terbaik untuk memberitahu masyarakat sekeliling tentang telah masuknya waktu solat. Sebahagian sahabat memberi cadangan dengan menggunakan ‘Naqus’ (ketukan kayu). Baginda bersabda, “itu adalah perbuatan golongan Nasrani”. Sebahagian sahabat lain berkata dengan menggunakan terumpit. Baginda bersabda lagi, “itu adalah perbuatan golongan Yahudi”. Sebahagian yang lain pula  mencadangkan menggunakan ‘Tamaru’ (sejenis alat muzik). Baginda bersabda, “itu adalah perbuatan orang-orang Rom”. Sebahagian yang lain lagi mengatakan nyalaan api. Baginda bersabda, “ini pula perbuatan golongan Majusi”. Sehinggalah Abdullah bin Zaid bermimpi dengan alamat azan dan iqomah. Maka dia menceritakan mimpinya kepada Baginda SAW. Rasulullah SAW bersabda, “itu adalah petunjuk mimpi”. (Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)
Terdapat Hadith lain juga yang juga menunjukkan pensyariatan azan. Di dalam Sohih Bukhari dan Muslim, dari Anas RA berkata: Rasulullah SAW memerintahkan Bilal melaungkan azan dan diikuti dengan iqamah.
Adapun terdapat banyak Hadith yang menunjukkan kelebihan melaungkan azan. Antaranya, diriwayatkan daripada Muawiyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “para muazin  adalah sepanjang-panjang manusia di Hari Qiamat nanti.”
Di dalam kitab Feqhul Islami Wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Zuhaili dan kitab Feqh Manhaji karangan Dr. Mustaffa ada menyebutkan mengenai perbuatan meninggikan suara untuk memberi tahu orang lain masuknya waktu solat hukumnya Sunat Muakkad. Bahkan meninggikan suara merupakan syarat sah azan. Ulama juga ada menyebut tentang keadaan sekiranya azan untuk solat sendirian di tempat selain masjid, disunatkan untuk meninggikan suara. Namun, jika azan itu ialah untuk solat sendirian dalam masjid, dan dalam masa yang sama terdapat jemaah sekelilingnya, maka disunatkan untuk merendahkan suara supaya tidaklah disalah anggap oleh pendengar-pendengar lain bahawa telah masuk waktu solat yang seterusnya.
Di dalam kitab Syarah Yakutun Nafis karangan Muhammad bin Ahmad bin Umar Al-Syatiri pula ada menyatakan mengenai perspektif orang Musyrikin tentang azan. Sebahagian mereka berkata, “apa yang membuatkan aku takjub dengan Islam secara tabiatnya adalah dengan namanya Islam, iaitu daripada salam atau selamat. Aku juga takjub dengan azan dan sebaik-baik katanya yang aku terpegun ialah lafaz marilah menuju kejayaan..marilah menuju kejayaan” . Ini menunjukkan laungan azan bukan sahaja melambangkan syiar bagi umat Islam, bahkan menawan hati orang-orang yang mendengarnya.
Kesimpulannya, tiada unsur-unsur yang mengganggu masyarakat sekeliling dalam laungan azan dan Iqamah. Maka sesiapa yang menyekat dan menghalang dari dilaungkan atau ditinggikan azan, dia seolah-olah telah menolak syiar Islam sendiri. Maka sudah seharusnya kita  sebagai umat Islam perlu memastikan agar azan dan Iqamah harus terus dilaungkan sekuat-kuatnya demi memastikan syiar kita ini dipertahankan.

Disediakan oleh:
Akademi Tutorial BKPJM 2011/2012

1 ulasan:

  1. salam...

    " Maka sudah seharusnya kita sebagai umat Islam perlu memastikan agar azan dan Iqamah harus terus dilaungkan sekuat-kuatnya demi memastikan syiar kita ini dipertahankan "

    pd pndpt sy..perkataan SEKUAT-KUATNYA xperlu ditulis..krn memadai 'dilaungkn' shj..

    hnya pndpt kecil dr sy..

    BalasPadam