Jumaat, 26 April 2013

Kisah Imam Abu Hanifah dan Dahari Al-Yahudi.



Pada zaman Abu Hanifah, terdapat seorang Yahudi daripada aliran Dahari yang telah berdebat dan mengalahkan kesemua ulama Islam ketika itu melainkan Hamad, iaitu guru Abu Hanifah. Lalu beliau mencabar Hamad untuk berhujah dan Hamad pula meminta tempoh selama satu malam.
Ada yang mengatakan bahawa Dahari adalah penganut fahaman muktazilah, manakala guru kepada Imam Abu Hanifah ialah Imam Ahmad ibnu Hambal.
Keesokan harinya, Imam Abu Hanifah telah datang menemui gurunya dan mendapati gurunya sedang duduk berdukacita. Lalu dia bertanya kepada Hamad tentang punca kesusahan hatinya. Gurunya memberitahu bahawa dia dicabar untuk berhujah dgn Dahari dan pada malamnya dia bermimpi melihat sebuah pokok yang besar serta banyak buahnya. Tiba-tiba keluar dari satu penjuru seekor khinzir yang memakan buah, daun dan ranting pokok tersebut melainkan batangnya saja. Kemudian, keluar seekor harimau dari umbi pokok itu dan menerkam khinzir tersebut sehingga mati.

Berkata Abu Hanifah: “Sesungguhnya telah diajar ilmu takbir mimpi kepadaku. Mimpi itu adalah kebaikan untuk kita dan keburukan untuk musuh kita. Sekiranya kamu izinkan aku mentafsirkan, nescaya aku takbirkannya.” 

Setelah diberi keizinan, lalu Abu Hanifah berkata: “Bermula kebun itu adalah agama Islam, pokok kayu yang berbuah itu adalah para ulamanya, batang pokok yang tinggal adalah engkau, khinzir itu adalah Dahari, dan harimau itu adalah aku. Lalu aku berjalan dengan engkau dan dengan izin engkau, maka berhujahlah aku dengannya.”

Kemudiannya Abu Hanifah yang masih kecil lagi ketika itu pun berjalan bersama Hamad dgn memegang jubah gurunya dan jubahnya ke masjid untuk berhujah dengan Dahari.

Di majlis perdebatan tersebut, Dahari telah naik ke atas mimbar dan mengemukakan soalan kepada Abu Hanifah yang telah menyahut cabarannya. Berikut dkemukakan dialog perbahasan antara Abu Hanifah dengan Dahari:

Dahari: Adakah Allah SWT itu wujud?

Abu Hanifah: Bahkan.

Dahari: Di mana Dia?

Abu Hanifah: Dia tidak bertempat.

Dahari: Bagaimanakah suatu benda yang maujud (ada) itu tidak bertempat?

Abu Hanifah: Dalil tersebut ada pada diri kita. Bukankah pada diri kita ada Roh? Jadi dimanakah terletaknya roh, adakah di kepala, di perut atau di kaki kamu? Di dalam air susu ada lemak, jadi dimanakah terletaknya lemak itu? Adakah di atas ataupun di bawah? Jadi begitulah Allah SWT yang tiada bertempat.

Dahari: Apakah yang terdahulu daripada Allah SWT dan apakah yang terkemudian daripada-Nya?

Abu Hanifah: Dalilnya terdapat pada diri kita. Apakah yang terdahulu daripada ibu jari dan apakah yang terkemudian daripada jari-jari kelingking? Maka tiada suatu pun yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya. Demikianlah Allah SWT, tiada sesuatu yang terdahulu dan terkemudian daripada-Nya.

Dahari: Tinggal satu soalan lagi daripada aku. Apakah pekerjaan Allah SWT sekarang?

Abu Hanifah: Sesungguhnya kita sepatutnya yang menjawap berada di atas mimbar dan yang bertanya duduk di bawah. Sekiranya engkau sanggup bertukar tempat maka barulah aku akan menjawap soalan engkau.

(Selepas bertukar tempat, maka Dahari bertanya soalan dari bawah dan Abu Hanifah menjawapnya dari atas mimbar) 

"Pekerjaan Allah SWT sekarang ialah menjatuhkan yang batil seperti engkau dan menaikkan yang hak seperti aku!" (Maka patahlah hujah Dahari).. Wallahu a'alam..

======================================

*Cerita ini adalah apa yang saya dapat melalui khutbah Jumaat di Masjid Abdeen pada tarikh 26 April 2013. Sebagai perkongsian bersama, dan semoga ianya bermanfaat kepada kita selaku abna'ul harakah, lebih lagi fatrah PRU13 dan imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi. :)


!! أن الإسلام سينتصر قريباً في الأرض ~


Yang HAK tetap akan jadi HAK, dan yang BATIL pasti akan tewas walau bagaimana sekalipun kebatilan tersebut dipertahankan !!
"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"

Muhammad Amin bin Sailan @ Sazali,
Timbalan Yang DiPertua (Lajnah Perancang)
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
sesi 2012/2013.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan