Sabtu, 10 November 2012

MUSYRIF DAN KESELAMATAN



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Al-Baqarah:195).

Nabi SAW juga bersabda “Janganlah melakukan perkara yang memudharatkan diri kamu dan diri orang lain.” (riwayat Ibnu Majah).

Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan kes-kes yang berlaku di kalangan mahasiswi Malaysia baik pelajar pengajian Islam mahupun pelajar perubatan yang menerima gangguan seksual dari masyarakat arab di Mesir ini. Perkara ini bukanlah satu perkara yang asing kerana seringkali berlaku di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. ‘’Malang tidak berbau” kata-kata yang kebiasaan kita dengar tetapi tidak dititikberatkan oleh golongan tertentu.

Ayat al-Quran dan hadis di atas menunjukkan kewajipan menjaga diri dari sebarang bahaya yang boleh memudharatkan diri sendiri mahupun orang lain. Perlu diberi lebih penekanan akan keselamatan mahasiswi kerana kes yang berlaku di kalangan mahasiswi lebih banyak berbanding mahasiswa. Memandangkan fitnah yang berlaku pada diri wanita bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya diri perempuan itu adalah aurat (boleh membawa kepada fitnah). Apabila perempuan itu keluar maka syaitan akan mengawasi dan menghiasi dirinya (sehingga lelaki tertawan dan membuat maksiat)”
( Riwayat Tarmizi)

Dalam Al-Quran ada dijelaskan tentang adanya kejahatan-kejahatan yang banyak pada waktu malam. Allah S.W.T berfirman :
“Dan Aku berlindung dari kejahatan malam apabila ia berlabuh”surah Al-Falaq.Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda “Kalaulah manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam”. 
Ini menunjukkan bahawa waktu malam adalah sangat berbahaya terutama kepada perempuan yang dijadikan Allah SWT kurang dari segi kekuatan fizikal berbanding lelaki. Kurangnya kekuatan fizikal memerlukan bantuan lelaki untuk melindungi dan membantu mereka.
Dalam surah Al-Qasas ayat 23 dan 24 ada disebut kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuib yang berusaha untuk mengambil air namun tidak berjaya kerana ramainya orang.Lalu datanglah Nabi Musa A.S membantu mereka. Dalil ini menunjukkan bahawa bilangan perempuan yang ramai juga memerlukan bantuan lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu.

Dengan itu, Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM menyediakan sistem musyrif kepada mahasiswi pada waktu malam. Dengan adanya musyrif sedikit sebanyak dapat membantu dan melindungi mahasiswi dari sebarang gangguan. Justeru, mahasiswi yang keluar malam tanpa musyrif mendedahkan diri sendiri kepada bahaya dan seterusnya akan membawa kepada kemudharatan diri sendiri.


Disediakan oleh :
Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM 2012/2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan