Khamis, 24 April 2014

KITA HARUS TAHU...BKPJM.




Kita harus tahu bahawa Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dahulunya dinamakan Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ).
Kita harus tahu bahawa BKPJM yang diasaskan dengan nama TDPIJ, telah ditubuhkan pada tahun 1970 untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Johor yang datang menuntut ilmu di Mesir. Setelah itu, peranannya diperluaskan lagi dengan mengadakan kelas-kelas pengajian, dan seterusnya majlis-majlis sambutan untuk anak-anak Johor di Mesir.
Kita harus tahu bahawa pada 1976, TDPIJlah yang memulakan usaha untuk mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk pelajar Johor di Mesir (Asrama Penuntut Johor-APJ). Antara langkah yang dilaksanakan ialah membuat pungutan derma dari ahli, masyarakat di tanah air, jemaah haji, dan lain-lain di samping menghantar beberapa wakil diketuai saudara Mudasir Bin Mestar untuk bertemu YAB Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Bin Mohd Saat.
Kita harus tahu bahawa setelah 5 tahun TDPIJ berpenat lelah bersengkang mata mencari dana bagi mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk anak Johor, Alhamdulillah akhirnya pada 13 Julai 1981, sebuah rumah di Hayyu Thamin berjaya dibeli dari tuan rumah yang asal bernama Faiq Shihab Bisakhrun, dan usaha membaikpulih bangunan tersebut dimulakan.
Kita harus tahu bahawa Asrama Pelajar Johor Thamin (APJ 8) merupakan hasil titik peluh generasi terdahulu di bawah TDPIJ.
Kita harus tahu bahawa pada 1982, APJ 8 dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Baginda mencemar duli dengan berkunjung ke Mesir diiringi rombongan Kerajaan Johor diketuai YAB Dato Abd Ajib Bin Ahmad. TDPIJlah yang menyambut mereka, menguruskan mereka, dan TDPIJ jugalah yang menjadi pelaksana program perasmian ketika itu.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 yang didirikan adalah merupakan hasil sumbangan ahli BKPJM, sumbangan orang ramai yang dicari oleh BKPJM, dan sumbangan kerajaan Johor sendiri.
Kita harus tahu bahawa satu persetujuan telah diadakan ketika itu, bahawa segala perkara yang berkaitan dengan APJT, diletakkan di bawah pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan dikendalikan oleh BKPJM.
Kita harus tahu bahawa BKPJM telah ada sebelum adanya APJ 8, dan BKPJMlah yang memulakan usaha mendapatkan APJ 8, dan BKPJMlah yang dipertanggungjawabkan dengan pengendalian APJ 8.
Kita harus tahu bahawa BKPJM ada hak untuk mempunyai pejabat di APJ 8, kerana BKPJM punca APJ 8 wujud, dan BKPJMlah yang selayaknya mengendalikannya, bukannya mana-mana persatuan lain.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 merupakan jasa peninggalan generasi terdahulu yang menjadi hak kita. Jasa mereka, hak kita.
Kita harus tahu sejarah kita, kerana BKPJM Keluarga Kita.

"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"






Tiada ulasan:

Catat Ulasan