Isnin, 17 Ogos 2015

Wabak ketika melaksanakan dakwah



Wabak ketika melaksanakan dakwah
Isti’jal(gopoh/tergesa-gesa) adalah wabak atau penyakit yang sering kali timbul dikalangan mereka yang bergerak dalam menyebarkan dakwah islam. Wabak  ini perlu dibanteras dan diawasi. Dan kali ini kami akan menerangkan sedikit sebanyak berkaitan wabak tersebut. Seperti firman Allah S.W.T :
Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.
( Yunus : 11)
Isti’jal dari sudut dakwah :
Isti’jal adalah keinginan untuk merubah realiti kehidupan masa kini dengan sekelip mata atau kurang dari sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku pada masa akan datang dan tidak memahami waqi’ (suasana persekitaran) yang melingkungi mereka. Mereka juga tidak menyediakan sebarang persiapan awal atau pendekatan dan method yang sesuai.

Pembahagian Isti’jal di dalam islam :
1)               Isti’jal yang dipuji
Apa saja yang lahir dari penilaian yang terperinci tentang kesan dan akibat yang akan terjadi, disamping mengenalpasti waqi’ (suasana) dan keadaan. Dan juga membuat persediaan terbaik dan penyusunan yang rapi. Seperti firman Allah berkenaan cerita Nabi Musa a.s.
Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?. Nabi Musa menjawab: "Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau redha akan daku".
(Thaha : 83 - 84)

2)               Isti’jal yang dicela
Tindakan yang timbul dari perasaan hati yang meluap-luap tanpa menilai tentang akibat yang akan ditanggung, dan tidak mengenalpasti waqi’ (suasana) dan keadaan, Dan tiada persediaan dan penyusunan yang rapi. Seperti yang diceritakan didalam hadis.
Dari Abi Abdillah Khabbab bin Al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang baginda berbaring di bawah lembayung Kaabah berbantalkan selindangnya. Lantas kami berkata : Apakah tidak Engkau memohon kemenangan
( pertolongan ) bagi pihak kita? Apakah tidak Engkau berdoa bagi ( kejayaan ) kita?

Lalu Nabi saw menjawab : Sesungguhnya terdapat pejuang sebelum kamu yang ditangkap lalu digali lubang dan ditanam separuh badan, kemudian dibawa datang gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya maka dibelah sehingga terbelah dua dan ia disikat dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya namun ( penyiksaan itu ) tidak memalingkan ia dari agamanya.

Demi Allah! Pasti sahaja Allah swt akan menyempurnakan agamaNya sehingga seseorang yang berkenderaan dari Sana'a ke Hadhramaut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah swt. Dan juga tidak takut akan Serigala yang mengancam kambingnya. Namun begitu.... kamu terlalu gopoh !

(Hadis Riwayat Bukhari)

Diantara kesan isti’jal
1)               Futur (terhenti/melengah-lengah). Sedangkan Allah lebih menyukai hambanya melakukan perkara yang sedikit tetapi istiqomah(berterusan) berbanding daripada melakukan perkara yang banyak yang tidak istiqomah (berterusan).
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”
(Hadis Riwayatkan Bukhari dan Muslim)

Kadang-kadang ia boleh membuatkan seseorang itu terkorban dengan cara yang tidak terhormat tanpa meninggalkan sebarang pulangan dan hasil. Dan di akhirat kelak ia akan dipertanggungjawab dan dicela didepan Allah. . Firman Allah s.w.t :
(Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikitpun kepada orang lain, dan segala urusan pada hari itu didalam kekuasan Allah.
(al-infitar : 19)

Faktor-faktor  isti’jal
1)               Runtunan nafsu
Kadang-kadang isti’jal berlaku kerana keinginan atau dorongan nafsu yang membuak-buak yang berakar umbi didalam diri manusia.  Firman Allah s.w.t :
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya.
(al-Anbiya’ :37 )

2)               Bersemangat dan iman yang membara
Ia merupakan perkara yang baik, akan tetapi jika tidak diarah dan dikawal dengan baik maka ia akan mendorong seseorang itu melakukan perkara yang lebih banyak mudarat berbanding manfaat. . Firman Allah s.w.t :
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.

3)               Tidak memahami strategi musuh
Musuh-musuh islam sebenarnya mempunyai pelbagai strategi kotor yang mereka rangka dalam menguasai masyarakat islam. Dan diantara strategi atau tipu daya yang kebal yang mereka senantiasa gunakan adalah apabila mereka bersama islam, mereka akan mengakui diri mereka islam serta menyembunyikan sifat hasad dan aqidah sesat  yang mereka anuti. Firman Allah s.w.t :
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
4)               Lupa matlamat dan tujuan seorang muslim
Matlamat utama yang ingin dicapai setiap individu muslim adalah mardatillah (keredhaan Allah). Perkara ini hanya akan terlaksana melalui perantaraan pengiltizaman kepada manhaj yang ditentukan Allah tanpa sebarang pengabaian dan terus konsisten terhadap manhaj tesebut. Firman Allah s.w.t :
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".

5)               Bergaul dan mendampingi golongan yang gopoh dan tidak berhati-hati
Ini disebabkan tabiat manusia yang terikut dengan gaya rakannya dan tidak cermat dalam memilih kawan. Kerana kawan juga merupakan faktor yang dapat mengubah pemikiran seseorang.
Cara mengatasi isti’jal
1)               Merenung dan mengamati kesan yang akan terhasil dari perlakuan isti’jal
Cara ini adalah cara yang terbaik yang dapat menghasilkan ketenangan jiwa dan memudakan perlaksanaan dakwah, dan ianya membawa kepada sifat berhati-hati.
2)               Sentiasa merujuk al-quran dan sunnah nabi s.a.w
Cara demikian akan membawa kita kepada penilaian method dakwah  dan ibrah yang terkandung didalamnya yang telah berlaku kepada para anbiya’ terdahulu. Dan ianya akan membuatkan kita lebih matang dan bersistematik didalam mengemudi bahtera dakwah. Firman Allah s.w.t :
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
3)               Melakukan sesuatu tindakan didalam pemerhatian dan pengawasan golongan yang berpengalaman didalam medan dakwah
Ia akan membuatkan kita lebih cermat dalam mengorak langkah. Disamping itu, kita akan dirangsangkan dengan motivasi dan taujihat berganda yang mampu membuatkan kita lebih teratur dalam pelaksanaan dakwah.
4)               Memahami dan meneliti setiap pendekatan musuh dengan rapi
Cara ini akan membantu para pengerak begitu mudah menilai natijah dan risiko yang akan berlaku, seterusnya mereka akan cermat dan berjaga-jaga dalam melakukan tindakan yang telah dirancang.
“Tidaklah seorang mukmin tersengat dari satu lubang sebanyak dua kali.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim )

5)                              Sentiasa bermujahadah dan berlatih agar diri sentiasa tenang dan berwaspada.
Sesungguhnya sifat tenang itu ianya hanya terhasil setelah kita berusaha mengawal diri kita. Dan sifat berjaga-jaga serta sabar adalah sifat yang utama yang wajib ada didalam setiap individu pengerak islam.

Kita selaku pendakwah yang bergerak melaksanakan tuntutan syariat mestilah berhati-hati dalam melaksanakan dakwah dan menjauhi perbuatan gopoh-gapah atau tergesa-gesa.

Rujukan : Kitab Afat ala Toriq (Dr Al-Sayed Muhammad Noh)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan