Selasa, 13 November 2012

BULAN MUHARRAM



Muharram adalah satu dari empat bulan yang disebut bulan haram di dalam al-Quran. Yang disebut Bulan Haram ialah: Muharram, Rajab, Dzulqaidah dan Dzulhijjah. Sejak zaman dahulu ( bahkan zaman jahiliyah ), keempat bulan itu sudah ditetapkan keharamannya kerana ia adalah bulan yang diharamkan berperang dan pertumpahan darah. Hal ini termaktub dalam al-Quran diantaranya pada ayat:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram.. 
[QS Al-Maidah (5) : 2]

Menurut riwayat, ternyata di bulan Muharram terjadi kejadian-kejadian bersejarah yang berkaitan dengan kisah-kisah para nabi. Kejadian-kejadian itu antara lain:

·         Taubat Nabi Adam diterima oleh Allah
·         Nabi Idris diangkat ke langit
·         Bahtera Nabi Nuh berlabuh setelah peristiwa banjir
·         Nabi Ibrahim dilahirkan, diangkat menjadi rasul dan diselamatkan dari api
·         Nabi Ya’qub dikembalikan penglihatannya
·         Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara
·         Nabi Musa diselamatkan dari kejaran Fir’aun dengan melintasi laut merah yang terbelah
·         Nabi Daud diterima taubatnya oleh Allah
·         Kembalinya anugerah kerajaan Nabi Sulaiman
·         Nabi Ayyub diuji dengan penyakit, lalu disembuhkan
·         Nabi Yunus keluar dari perut ikan
·         Nabi Isa diselamatkan (di angkat) dari dikejar orang-orang yang ingin menyalibnya


Begitu banyak peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam yang menunjukkan bahawa bulan Muharam ini penuh dengan keberkatan. Pada bulan Muharam, disitu ada amalan-amalan yang sunat dilakukan. Diantaranya :

Berpuasa:

Ahli kitab seperti yahudi malah menjadikan tanggal 10 muharram (Hari Asyura) sebagai hari kemuliaan dan kebesaran,  dan mereka berpuasa sebagai tanda mengingati kisah Nabi Musa selamat dari kezaliman Firaun. Di dalam perkara ini, oleh kerana golongan Yahudi berpuasa pada 10 Muharam, ada hadis nabi yang menyatakan sunat berpuasa pada 10 Muharam tetapi mestilah berpuasa pada sehari sebelumnya atau  sehari selepasnya bagi membezakan daripada amalan orang Yahudi.


Daripada Ibnu Abbas berkata; sabda Nabi SAW : berpuasalah pada hari Asyura dan bezakanlah  dengan orang Yahudi, dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”.

Rasulullah SAW  berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan berpuasa pada hari tersebut. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari itu diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani , maka beliau SAW  bersabda: Di tahun depan Insya-Allah kita akan berpuasa pada tanggal 9. Tetapi sebelum datang tahun depan Rasulullah SAW telah wafat. [HR Muslim, Abu Daud]

Selain berpuasa pada hari Asyura ada amalan yang sunat dilakukan yang disebut di dalam beberapa buah kitab diantaranya, kitab " I'anatut Thalibin " yang dikarang oleh Sayyid Al Bakri Syatha. Amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari Asyura :

  • Banyakkan solat sunat disamping solat fardhu
  • Berpuasa pada hari ke 9 dan ke 10.
  • Menghubungkan silaturrahim.
  • Banyakkan bersedekah.
  • Bersihkan diri dari segala kekotoran.
  • Bercelak mata.
  • Menziarahi ulama'.
  • Menziarahi orang sakit.
  • Mengusap kepala anak yatim.
  • Memotong kuku.
  • Membaca surah Al Ikhlas


Apabila tiba Hari Asyura, masyarakat orang Melayu akan memasak sejenis makanan yang disebut Bubur Asyura. Adapun amalan ini adalah berasal daripada apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh seperti yang disebut didalam kitab "Nihayatuz Zain" karangan Syeikh Nawawi Al Banteni dan di dalam kitab "Nuzhatul Majalis" karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab "Jam'ul Fawaid" karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh A.S berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura', maka berkatalah ia pada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih". Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang baqila' iaitu kacang ful, satu genggam kacang adas, ba'ruz, hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : "Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.”


Semoga kita dapat merebut peluang mengamalkan apa yang sunat dilakukan pada bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini. Dengan kehadiran tahun baru 1434 Hijrah, dapat kita memperbaharui niat dan azam supaya kehidupan kita pada tahun ini lebih baik dan lebih bermakna dari tahun yang sebelumnya.


Disediakan oleh :
Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 2012/2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan