Assalamualaikum wbt.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang.
Di antara nikmat Allah yang kita
rasai dan nikmati, ada satu nikmat yang melandasi datangnya nikmat-nikmat yang
lain iaitu ilmu. Kerana dengan ilmu, seseorang akan dapat mengetahui dan
memahami berbagai hal. Kerana ilmu juga, seseorang akan mendapat kedudukan yang
lebih tinggi di sisi Allah dan juga di kalangan manusia. Terutama jika ia disertai
dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Taala. Ilmu juga merupakan makanan
pokok bagi jiwa, yang kerananya jiwa akan menjadi hidup dan jasad memiliki
adab.
Sempena imtihan yang bakal
berlangsung tidak lama lagi, ana Mohd Helmi bin Nor Isham selaku Ketua Unit
Pengetahuan & Bimbingan, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
(BKPJM) 2012/2013 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat
menghadapi imtihan buat seluruh anak Johor yang berada di bumi Mesir ini. Jadikanlah imtihan ini sebagai satu
wasilah kita dalam mencapai kejayaan dalam kehidupan. Semoga dengan kejayaan
ini akan membantu kita dalam menyampaikan dakwah Islam di arena dan lapangan
yang lebih luas.
Renung kembali kalam Saidina Ali, "Ilmu itu ada dua iaitu ilmu yang ditulis dan ilmu yang didengari. Ilmu yang didengari tidak memberikan apa-apa manfaat tanpa adanya ilmu yang ditulis’’.
Oleh
itu, marilah kita semua meningkatkan kesungguhan dan prestasi diri dalam
menggapai serta melakar kecemerlangan dalam imtihan ini, InsyaAllah. Untuk
akhirnya, semoga kejayaan itu milik kita bersama.
"BKPJM KELUARGA KITA"
Disediakan oleh,
Mohd Helmi bin Nor Isham
(Ketua Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 2012/2013)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan