Khamis, 24 April 2014

KITA HARUS TAHU...BKPJM.




Kita harus tahu bahawa Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dahulunya dinamakan Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ).
Kita harus tahu bahawa BKPJM yang diasaskan dengan nama TDPIJ, telah ditubuhkan pada tahun 1970 untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Johor yang datang menuntut ilmu di Mesir. Setelah itu, peranannya diperluaskan lagi dengan mengadakan kelas-kelas pengajian, dan seterusnya majlis-majlis sambutan untuk anak-anak Johor di Mesir.
Kita harus tahu bahawa pada 1976, TDPIJlah yang memulakan usaha untuk mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk pelajar Johor di Mesir (Asrama Penuntut Johor-APJ). Antara langkah yang dilaksanakan ialah membuat pungutan derma dari ahli, masyarakat di tanah air, jemaah haji, dan lain-lain di samping menghantar beberapa wakil diketuai saudara Mudasir Bin Mestar untuk bertemu YAB Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Bin Mohd Saat.
Kita harus tahu bahawa setelah 5 tahun TDPIJ berpenat lelah bersengkang mata mencari dana bagi mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk anak Johor, Alhamdulillah akhirnya pada 13 Julai 1981, sebuah rumah di Hayyu Thamin berjaya dibeli dari tuan rumah yang asal bernama Faiq Shihab Bisakhrun, dan usaha membaikpulih bangunan tersebut dimulakan.
Kita harus tahu bahawa Asrama Pelajar Johor Thamin (APJ 8) merupakan hasil titik peluh generasi terdahulu di bawah TDPIJ.
Kita harus tahu bahawa pada 1982, APJ 8 dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Baginda mencemar duli dengan berkunjung ke Mesir diiringi rombongan Kerajaan Johor diketuai YAB Dato Abd Ajib Bin Ahmad. TDPIJlah yang menyambut mereka, menguruskan mereka, dan TDPIJ jugalah yang menjadi pelaksana program perasmian ketika itu.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 yang didirikan adalah merupakan hasil sumbangan ahli BKPJM, sumbangan orang ramai yang dicari oleh BKPJM, dan sumbangan kerajaan Johor sendiri.
Kita harus tahu bahawa satu persetujuan telah diadakan ketika itu, bahawa segala perkara yang berkaitan dengan APJT, diletakkan di bawah pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan dikendalikan oleh BKPJM.
Kita harus tahu bahawa BKPJM telah ada sebelum adanya APJ 8, dan BKPJMlah yang memulakan usaha mendapatkan APJ 8, dan BKPJMlah yang dipertanggungjawabkan dengan pengendalian APJ 8.
Kita harus tahu bahawa BKPJM ada hak untuk mempunyai pejabat di APJ 8, kerana BKPJM punca APJ 8 wujud, dan BKPJMlah yang selayaknya mengendalikannya, bukannya mana-mana persatuan lain.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 merupakan jasa peninggalan generasi terdahulu yang menjadi hak kita. Jasa mereka, hak kita.
Kita harus tahu sejarah kita, kerana BKPJM Keluarga Kita.

"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"






Khamis, 3 April 2014

RISALAH THAQAFAH | "25,000"





MUHASABAH SESAAT :

NILAI DI ATAS MERUPAKAN JUMLAH WANG YANG TELAH AYAH PERUNTUKKAN UNTUKMU SETIAP TAHUN. AYAH TIDAK MENAFIKAN TANGGUNGAN AYAH UNTUK KAMU LEBIH BANYAK BERBANDING ADIK BERADIK KAMU YANG LAIN. BUKAN KERANA AYAH PILIH KASIH, TAPI KERANA AYAH CINTAKAN ISLAM, DAN KAMULAH CINTA AYAH ITU.
PADA SUATU HARI, IBU MENYATAKAN HASRAT UNTUK MENZIARAHI KAMU DI MESIR, UNIVERSITI AL-AZHAR KEBANGGAAN ISLAM. IBU TERLALU RINDUKAN ANAKNYA. KERANA SAYANG, IBU SANGGUP MENGIKAT PERUT SEPANJANG TAHUN DAN MERAHSIAKAN KEBERANGKATANNYA KE BUMI ANBIYA'.

IBU  PULANG KE MALAYSIA DENGAN CERMIN MATA HITAM.
AYAH SANGKA IBU MAHU BERGAYA MENGIKUT ARUS SEMASA. NAMUN, AYAH DIAM MEMBISU. MATA IBU SEAKAN BERBICARA.

IBU MULA BERCERITA, IBU KATA :

1.       Anak ibu solatnya culas, akhir waktu, doa untuk ibu dan ayah pendek sejengkal, hidup segan mati tak mahu.

2.       Anak ibu sedekah segenihnya untuk 'Doritos' lebih kerap berbanding kepada yang memerlukan.

3.       Anak ibu jarang-jarang ke kuliah, sebabnya rapuh, ibu risau kau jatuh.

4.       Anak ibu suka mengulangkaji komik dan manga. One Piece dan Naruto menandingi Sahih Bukhari, anak ibu...

5.       Anak ibu suka hadir Talaqqi dengan syeikh, tapi hakikatnya anak ibu tidur sepanjang pengajian.

6.       Anak ibu ada Facebook dan Twitter, Jangan Kau Dekati Zina, katanya. Tapi tatkala keseorangan, anak ibu mesra dan manja bermesej dengan ajnabi yang bukan hak.

7.       Anak ibu suka online dan melihat kecantikan Dajjal laknatullah, mengagumi pembedahan plastik, menonton maksiat. sayang ibu, Jong Kook Oppa akan tua ditelan zaman, Minho Oppa akan cacat ditenung Malaikat.

8.       Anak ibu suka call yang bukan hak, rather than call ibu dan ayah kandung yang saban hari merindukan anaknya. "Jangan risau, ibu sakit sikit je, anak ibu sihat?"

9.       Anak ibu selalu shopping mengikut kehendak, bukan keperluan. Pantang nampak cantik, grab. Pakai sekali, bas. "Takpe, nanti ayah akan usahakan duit saku lebih untuk bulan ni."

1.    Anak ibu pergi kuliah, ibu nampak anak ibu duduk di belakang. Datangnya lewat, Adabnya kurang. ibu tengok, anak ibu macam tak faham ammi, ibu apatah lagi. Fokusnya pada whats app dan angry bird. Sambil menyelam minum air, hebat anak ibu. Selesai kuliah, terus pulang ke rumah. "Sayang ibu, kenapa anak ibu tak stay back after class, make a discussion?"

11.    Anak ibu jarang baca al-Quran. Madah al-Quran tahfiz satu juzu’ sahaja satu tahun, bukan banyak. Ibu risau…

12.    Anak ibu berjaga malam, ibu ingat anak ibu nak qiamullail, rupanya anak ibu habiskan PES sampai final. Malam minggu sibuk berhalaqah dengan kawan di rumah sewa, study skill untuk menang dalam 'CS' dan 'GTA' katanya. Musykil ibu, pelajaran apakah itu? Counter Strike dan Grand Thief Auto silibus Azhari ke? Halaqah GTA, Halaqah CS. Duit bayar bil elektrik melambung nak...

13.    Anak ibu rajin tadah air, katanya untuk simpanan waktu ketiadaan air, tapi anak ibu tak rajin tutup pili air, biar air melimpah ruah, "Nanti ayah bayarkan katanya."

14.    Anak ibu  suka selesa, ke mana-mana sentiasa dengan teksi, bukankah tremco lebih jimat?

15.    Anak ibu suka pasang earphone, ibu harap anak ibu dengar something pure and divine, Baqarah misalnya, tapi anak ibu dengar something hard and wasted, lagu yang liriknya menongkah arus acuan Rasulullah S.A.W.

SAHABATKU, SETANDINGKAH L.E 25,000 PENGORBANAN AYAH DENGAN USAHA KITA DI BUMI MUSA DAN HARUN INI? DITAMBAH TANGGUNGJAWAB AYAH DAN IBU PADA ADIK-ADIK YANG LAIN, TERGAMAKKAH KITA MENSIA-SIAKAN CITA DAN CINTA AYAH SERTA IBU?
JEJAK SIAPAKAH YANG SEDANG KAU TURUTI SEKARANG INI? PEMILIK TONGKAT ATAU PEMILIK PIRAMID?

SAHABATKU, AKU SAYANG KAMU...  CERITA ITU TENTANG TEMANKU. AKU BERDOA TIADA SEORANG PUN DARI KALANGAN KITA SEUMPAMA ITU.

AKU TAK NAK AYAH DAN IBU KALIAN MENANGIS KERANA SIKAP KITA,  ALPA DAN SAMBIL LEWA

BANGKITKAN KEMBALI SELF-ESTEEM YANG DAHULUNYA HEBAT DAN MEGAH ITU

BINA AZAM BARU – BINA IMPIAN BARU – BINA CITA-CITA BARU

BACK – TO – CAMPUS

FIGHTING! BERJUANG HINGGA KE TITISAN DARAH YANG TERAKHIR



Jumaat, 26 April 2013

Kisah Imam Abu Hanifah dan Dahari Al-Yahudi.



Pada zaman Abu Hanifah, terdapat seorang Yahudi daripada aliran Dahari yang telah berdebat dan mengalahkan kesemua ulama Islam ketika itu melainkan Hamad, iaitu guru Abu Hanifah. Lalu beliau mencabar Hamad untuk berhujah dan Hamad pula meminta tempoh selama satu malam.
Ada yang mengatakan bahawa Dahari adalah penganut fahaman muktazilah, manakala guru kepada Imam Abu Hanifah ialah Imam Ahmad ibnu Hambal.
Keesokan harinya, Imam Abu Hanifah telah datang menemui gurunya dan mendapati gurunya sedang duduk berdukacita. Lalu dia bertanya kepada Hamad tentang punca kesusahan hatinya. Gurunya memberitahu bahawa dia dicabar untuk berhujah dgn Dahari dan pada malamnya dia bermimpi melihat sebuah pokok yang besar serta banyak buahnya. Tiba-tiba keluar dari satu penjuru seekor khinzir yang memakan buah, daun dan ranting pokok tersebut melainkan batangnya saja. Kemudian, keluar seekor harimau dari umbi pokok itu dan menerkam khinzir tersebut sehingga mati.

Berkata Abu Hanifah: “Sesungguhnya telah diajar ilmu takbir mimpi kepadaku. Mimpi itu adalah kebaikan untuk kita dan keburukan untuk musuh kita. Sekiranya kamu izinkan aku mentafsirkan, nescaya aku takbirkannya.” 

Setelah diberi keizinan, lalu Abu Hanifah berkata: “Bermula kebun itu adalah agama Islam, pokok kayu yang berbuah itu adalah para ulamanya, batang pokok yang tinggal adalah engkau, khinzir itu adalah Dahari, dan harimau itu adalah aku. Lalu aku berjalan dengan engkau dan dengan izin engkau, maka berhujahlah aku dengannya.”

Kemudiannya Abu Hanifah yang masih kecil lagi ketika itu pun berjalan bersama Hamad dgn memegang jubah gurunya dan jubahnya ke masjid untuk berhujah dengan Dahari.

Di majlis perdebatan tersebut, Dahari telah naik ke atas mimbar dan mengemukakan soalan kepada Abu Hanifah yang telah menyahut cabarannya. Berikut dkemukakan dialog perbahasan antara Abu Hanifah dengan Dahari:

Dahari: Adakah Allah SWT itu wujud?

Abu Hanifah: Bahkan.

Dahari: Di mana Dia?

Abu Hanifah: Dia tidak bertempat.

Dahari: Bagaimanakah suatu benda yang maujud (ada) itu tidak bertempat?

Abu Hanifah: Dalil tersebut ada pada diri kita. Bukankah pada diri kita ada Roh? Jadi dimanakah terletaknya roh, adakah di kepala, di perut atau di kaki kamu? Di dalam air susu ada lemak, jadi dimanakah terletaknya lemak itu? Adakah di atas ataupun di bawah? Jadi begitulah Allah SWT yang tiada bertempat.

Dahari: Apakah yang terdahulu daripada Allah SWT dan apakah yang terkemudian daripada-Nya?

Abu Hanifah: Dalilnya terdapat pada diri kita. Apakah yang terdahulu daripada ibu jari dan apakah yang terkemudian daripada jari-jari kelingking? Maka tiada suatu pun yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya. Demikianlah Allah SWT, tiada sesuatu yang terdahulu dan terkemudian daripada-Nya.

Dahari: Tinggal satu soalan lagi daripada aku. Apakah pekerjaan Allah SWT sekarang?

Abu Hanifah: Sesungguhnya kita sepatutnya yang menjawap berada di atas mimbar dan yang bertanya duduk di bawah. Sekiranya engkau sanggup bertukar tempat maka barulah aku akan menjawap soalan engkau.

(Selepas bertukar tempat, maka Dahari bertanya soalan dari bawah dan Abu Hanifah menjawapnya dari atas mimbar) 

"Pekerjaan Allah SWT sekarang ialah menjatuhkan yang batil seperti engkau dan menaikkan yang hak seperti aku!" (Maka patahlah hujah Dahari).. Wallahu a'alam..

======================================

*Cerita ini adalah apa yang saya dapat melalui khutbah Jumaat di Masjid Abdeen pada tarikh 26 April 2013. Sebagai perkongsian bersama, dan semoga ianya bermanfaat kepada kita selaku abna'ul harakah, lebih lagi fatrah PRU13 dan imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi. :)


!! أن الإسلام سينتصر قريباً في الأرض ~


Yang HAK tetap akan jadi HAK, dan yang BATIL pasti akan tewas walau bagaimana sekalipun kebatilan tersebut dipertahankan !!
"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"

Muhammad Amin bin Sailan @ Sazali,
Timbalan Yang DiPertua (Lajnah Perancang)
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
sesi 2012/2013.

Selasa, 9 April 2013

PERANG AJNADAIN







Peperangan ini berlaku pada 27 Jamadil Awal  13 Hijrah bersamaan 3 Julai 634 Masihi yang berlaku berhampiran bandar Ramallah seterusnya membuka jalan untuk pembukaan bumi Palestin. Nama Ajnadain ialah suatu di Timur iaitu Jerusalem (Al-Quds). Peperangan ini berlaku di akhir pemerintahan khilafah Abu Bakar as-Siddiq dan awal pemerintahan Umar al-Khattab. Peperangan ini berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`Asr, Abu `Ubaidah bin Al-Jarrah, dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang diketuai oleh Atrabun.

Putera mahkota Constantine, putera kepada Kaisar (raja) Herkules masih menguasai Kaisaria dan terus mengumpul kekuatan untuk melawan tentera Islam. Dia meminta bantuan ketenteraan dari pulau Cyprus, semenanjung Greek, dan lain-lain tempat untuk mempertahankan Palestin dan kota suci Jerusalem dari jatuh ke tangan kaum Muslimin. Sementara di pihak Islam, Abu Ubaidah bin Jarrah telah mengarahkan Amru bin Al-Asr  bersama 9000 orang untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Rom. Apabila mendengar perkhabaran bahawa pasukan tentera kaum Muslimin telah mara dari Damsyik ke arah Selatan, Putera Constantine melantik Panglima Atrabun sebagai panglima perang bagi mengepalai angkatan tentera Rom yang jumlahnya dianggarkan seramai 70 000 orang.

Dia berpendapat untuk mencapai kemenangan, pasukan tentera Rom yang berada di merata tempat mesti disatukan di bawah satu kepimpinan di samping memecahkan kekuatan Islam. Untuk itu, Atrabun menempatkan sebuah batalion di Ramallah dan sebuah batalion lagi yang ditempatkan di Aila, Baitul Maqdis. Ini bertujuan untuk memecahkan kekuatan tentera Islam dan untuk menampung bantuan yang datang dari pihak luar. Sedangkan  Atrabun sendiri mengetuai pasukan utama untuk menyekat kemaraan tentera Muslimin.

Maka, tercetuslah pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Panglima Amru bin Al-Asr’ dengan tentera Rom dengan sangat sengit di serata tempat iaitu Afulla, Ain Harat, Jenin, Arraba, dan Burqa. Setelah beberapa benteng pertahanannya jatuh, Panglima Atrabun bersama anggota tenteranya bertahan di Nablus tetapi berjaya ditembusi juga oleh tentera Islam. Akhirnya mereka terpaksa berundur dan bertahan di  benteng kota Ajnadain yang terkenal dengan kekukuhan temboknya yang mana tidak dapat ditembusi oleh tentera Islam.  Ini kerana benteng kota Ajnadain memang sangat kukuh dan dilengkapi dengan kemudahan serta bekalan yang cukup. Panglima Atrabun mengharapkan agar tenteranya yang ditempatkan di Ramallah dan Aila akan dapat berbuat sesuatu ke atas tentera Islam agar usaha membebaskan kota tersebut gagal.


Panglima Amru bin al-Asr’ tidak mudah terperangkap dengan taktik licik Atrabun itu. Beliau mahu tentera Rom yang diletakkan di Ramallah dan Aila tidak dapat memberikan manfaat yang besar kepada tentera Rom yang terkepung di dalam kota Ajnadain tersebut. Oleh itu, beliau membentuk dua batalion untuk dihantar ke Ramallah dan Aila. Batalion ke Ramallah dipimpin oleh Abu Ayub al-Maliki dan batalion dihantar ke Aila dipimpin oleh Alqamah bin Hakim dan Masruq al-Akki. Manakala, panglima Amru bin al-Asr’ sendiri dengan tentera utamanya mengepung kota benteng Ajnadain dengan ketatnya.

Tentera Rom yang ditempatkan di Ramallah dan Aila tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan mereka telah diawasi tentera Islam yang dihantar oleh panglima Amru bin al-Asr’. Sambil melancarkan serangan, panglima Amru bin al-Asr’ menghantar surat kepada khalifah Umar bin Khattab memberitahu akan taktik licik Atrabun dan memohon bala tentera bantuan. Khlaifah Umar tersenyum apabila membaca surat panglima Amru bin al-Asr’ seolah-olah beliau mempunyai firasat bahawa taktik Atrabun itu bakal dikalahkan oleh panglima Arab.
“Kita akan melempar Atrabun Rom dengan Atrabun Arab. Kita lihat apa yang akan kita lihat.”  Kata khalifah Umar bin Khattab kepada orang-orang disekitarnya.

Khalifah Umar bin Khattab segera menghantar tentera ke Utara untuk membantu panglima Amru bin al-Asr’ yang sedang mengepung kota Ajnadain. Setiap kali  bantuan ketenteraan sampai, beliau akan membahagikan kepada tiga briged. Satu briged dihantar ke Ramallah, satu briged dihantar ke Aila dan satu briged lagi diserapkan ke dalam batalion tentera yang sedang mengepung kota Ajnadain. Pengepungan yang berlangsung sekian lama dengan serangan yang menggunakan busur panah, alat-alat pembentur dinding dan lain-lain tidak Berjaya menembusi kota tersebut. Dinding kota itu terlalu kukuh untuk ditembusi. Setiap lontaran api yang dilancarkan oleh tentera Islam ke dalam benteng selalu dapat dipadamkan oleh pihak musuh. 





Musim dingin tahun itu semakin dekat padahal pengepungan belum menampakkan apa-apa hasil. Ketika panglima Amru sedang berfikir mencari idea, beberapa orang tentera Rom keluar dari benteng dengan menjulang bendera putih sebagai tanda perutusan mencari jalan damai. Perutusan itu bertemu dengan panglima Amru bin al-Asr’ untuk menyerahkan surat dari panglima Atrabun yang kandungannya meminta agar tentera Islam kembali ke tanah Arab. Kata Atrabun, usaha pasukan Islam mengepung dengan pasukan yang kecil itu, akan sia-sia sahaja dan kota Ajnadain tidak akan jatuh. Apalagi dengan musim dingin yang semakin dekat.

Panglima Amru bin al-Asr’ mendapat idea untuk membalas perutusan Atrabun itu dengan tujuan untuk memerhatikan keadaan benteng dari  dalam. Bagi mengetahui situasi tersebut dengan mata kepalanya sendiri, panglima Amru bin al-Asr nekad untuk menyamar sebagai perutusan menjumpai panglima Atrabun agar dibenarkan masuk ke dalam benteng. Beliau melantik seorang tenteranya menjadi ketua perutusan sedang beliau sendiri menjadi anggota tenteranya. Tindakan ini tentu sangat nekad dan penuh risiko kerana sekiranya Atrabun tahu, sudah tentu nyawanya akan terancam. Dengan menjulang bendera putih, perutusan tentera Islam dibenarkan masuk ke dalam benteng dan berjumpa dengan panglima Atrabun di balai penghadapan. Mereka mengajukan tiga tawaran kepada pihak Rom di Ajnadain iaitu memeluk Islam, menyerahkan kota secara damai dengan kewajipan membayar ‘jizyah’ bagi yang tidak mahu masuk Islam, atau melanjutkan peperangan dengan segala risiko.

Mendengar tuntutan itu Panglima Atrabun tertawa besar dan memperli tentera Islam dengan berbagai perkataan yang menyakitkan hati. Hal ini telah membuat perutusan tentera Islam menyelar balas dan berlangsunglah sesi pertikaman lidah sesama mereka. Panglima Atrabun terus mencemuh utusan tentera Islam dengan penghinaan yang melampau. Panglima Amru bin al-Asr’ yang berlagak sebagai seorang anggota delegasi biasa tiba-tiba tidak dapat mengawal diri lalu tampil ke hadapan. Dengan yakin dan berani, beliau membalas cemuhan Atrabun dengan perkataan dan hujah yang bernas. Hal ini telah menyebabkan Atrabun terpinga-pinga dan curiga ke atas orang yang sedang dihadapinya itu.

“Ini pasti Amru bin al-Asr’ atau orang yang dapat dijadikan pegangan olehnya. Tidak ada bencana yang lebih besar ke atas kaum itu melainkan aku membunuh lelaki ini.” Kata Atrabun kepada dirinya sendiri.

Dengan perkataan lain jikalau lelaki yang dicurigainya itu dibunuh, tentera Islam pasti akan ditimpa bencana besar. Sebaliknya kalau tidak, tentera Rom yang akan dilanda malapetaka. Tidak ada jalan yang lebih baik bagi Atrabun kecuali memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membunuh si pemimpin Arab tersebut agar kota Ajnadain terselamat dari taktik perangnya.






Ya, dia mesti dihapuskan sekarang juga.” Begitulah bisik Atrabun kepada dirinya sendiri.

Lalu, Atrabun memanggil seorang pengawalnya dan menceritakan sesuatu kepadanya secara rahsia.

Pergilah engkau ke tempat si Fulan dan tunggu di sana. Apabila orang lelaki itu lalu di situ, engkau bunuhlah dia.” Kata Atrabun kepada pengawalnya.

Dengan firasatnya yang tajam, panglima Amru bin al-Asr’ dapat membaca apa yang direncanakan oleh Atrabun dan merasa dirinya berada dalam keadaan yang sangat berbahaya. Sebagai politikus Arab yang ulung, Amru tidak kehabisan akal dan beliau menemukan helah untuk melepaskan dirinya dari maut di dalam benteng musuh.

Wahai Panglima Atrabun, Engkau sudah mendengar apa yang aku sampaikan dan aku telah pun mendengar tentang pendirian engkau. Sebenarnya aku hanyalah seorang dari sepuluh orang yang diutuskan oleh Umar bin Khatab supaya berunding berkenaan masalah yang kita hadapi. Oleh kerana itu, sekarang aku akan pulang terlebih dahulu dan akan kembali membawa utusan yang lain. Kalau mereka sependapat denganku, aku akan kembalikan mereka ke tempatnya semula dan aku bertanggungjawab kepada engkau.”

Panglima Atrabun termakan dengan helah panglima Amru bin al-Asr’ itu. Dia mulai sangsi dan tidak yakin bahawa orang yang dihadapinya itu adalah Amru.

“Kalau begitu, pergilah engkau kepada teman-teman engkau dan bawa mereka ke sini.” Kata panglima Atrabun kepada panglima Amru bin al-Asr’.

Lalu, panglima Amru bin al-Asr’ segera keluar dari ‘kandang harimau’ tersebut kembali ke markasnya dan tidak datang-datang lagi.

Panglima Amru yang selamat dari dibunuh oleh panglima Atrabun terus pergi ke tengah-tengah tenteranya dan tidak kembali lagi ke dalam kota Ajnadain tersebut. Apa yang beliau ucapkan pada Atrabun hanyalah helah belaka yang dibolehkan di dalam peperangan. Akhirnya panglima Atrabun pun tahu bahawa sangkaannya adalah betul. Oang yang datang kepadanya memang panglima Amru bin al-Asr’, musuh utamanya. Atrabun merasa benar-benar tertipu.

“Orang itu telah menipuku. Inilah manusia yang paling cerdik. Apa boleh buat, kini musuh yang paling dikehendakinya itu telah berada di tengah-tengah pasukan tenteranya, tidak mungkin lagi dapat ditangkap untuk dibunuh. Siapa yang berani menangkap singa di tengah-tengah serigala yang ramai?” Kata Atrabun meyatakan penyesalannya kepada tenteranya.

Apabila khalifah Umar bin Khattab mendengar taktik jitu panglima Amru bin al-Asr’ itu, beliau berkata :

“ Amru telah mengalahkannya. Dia memang hebat.”

Hasil daripada tindakan nekad dan kecerdikannya itu, panglima Amru bin al-Asr’ kini telah mengetahui keadaan di dalam kota Ajnadain. Beliau telah mengetahui di mana letaknya kekuatan dan kelemahan benteng musuh. Kerana selama beliau berada di dalam benteng, kedua-dua matanya tidak henti-henti melihat ke setiap penjuru dengan teliti. Beliau berunding dengan orang-orang kanan dan para tenteranya yang lain. Diberitahunya segala apa yang telah dilihatnya sendiri dan tempat-tempat strategik pada bahagian dalam yang mudah untuk diserang dari luar. Dengan berpegang pada pengamatan Panglima Amru dan juga pendapat beliau, para pimpinan tentera Islam tidak nampak jalan lain yang lebih berjaya kecuali mengadakan serangan secara besar-besaran.

Tentera Islam yang gagah berani itu pun terus melancarkan serangan yang hebat dan bertali arus ke atas sasaran yang telah dikenalpasti. Regu-regu penerobos dan pemusnah Islam bergerak ke arah berbagai pintu gerbang yang telah ditentukan sesuai dengan pengamatan panglima Amru bin al-Asr’ sendiri. Pasukan tentera pemanah sentiasa bersiap sedia melindungi pasukan pemusnah dinding benteng yang bekerja keras untuk meruntuhkannya. Setiap kali pasukan Rom menjulurkan kepalanya untuk menyerang pasukan Islam yang mara hampir dengan benteng, anak panah tentera pemanah Islam, telah menembusi wajah, mata dan kepala mereka. Akhirnya, tentera Islam berjaya membuka pintu gerbang kota yang dikawal ketat itu. Bagaikan banjir besar, tentera Islam menerobos masuk ke dalam kota membuatkan tentera Rom kelam kabut. Apalagi apabila semua pintu gerbang telah dibuka dan dinding berjaya dibolosi, bertambah sengitlah pertempuran di antara kedua-dua pihak. Bumi Ajnadain bertukar menjadi merah oleh pancutan darah askar-askar yang ditetak pedang atau ditembusi tombak dan panah.

Dalam peperangan Ajnadain, antara yang menyertainya adalah seorang Muslimah yang sangat berani iaitu Khaulah binti Azwar. Beliau merupakan salah seorang daripada tentera berkuda Islam serta begitu berani merempuh barisan ketumbukan tentera Rom. Keberaniannya ini sewajarnya menjadi contoh kepada para muslimah pada zaman sekarang. Ketika matahari hampir terbenam, tentera Rom sudah kelihatan sangat tenat dan nyaris hancur musnah sama sekali. Panglima Atrabun dapat membaca bahawa tenteranya tidak ada harapan untuk menang atau dapat bertahan. Oleh kerana itulah sebelum matahari terbenam, Atrabun menarik sisa-sisa tenteranya dari medan pertempuran untuk mengelak dari hancur sama sekali. Mereka lari lintang-pukang bersama Atrabun untuk menyelamatkan diri dan menuju ke Jerusalem. Tentera Islam sengaja memberi kesempatan kepada sisa-sisa pasukan Rom itu melarikan diri kerana di kemudian hari akan dimusnahkan juga. Dengan demikian akhirnya kota Ajnadain yang terkenal kukuh itu jatuh ke tangan kaum Muslimin.

Faedah yang dapat diambil :
1.      Setiap muslim wajib menyeru orang kepada Islam.
2.        Berusaha bersungguh-sungguh dengan seluruh tenaga dalam peperangan dan gerak kerja islam.
3.      Tindakan berani  Amru Al-Asr  seperti  singa di tengah-tengah serigala yang banyak dalam menghadapi musuh.
4.      Menggunakan helah atau berselindung untuk melemahkan musuh.
5.      Mengatur strategi dengan baik dalam apa jua keadaan.  


 Disediakan oleh,
Unit Dakwah dan Tarbiyah BKPJM 12/13


Sabtu, 16 Februari 2013

PUNCA HATI MENJADI KERAS



Di Antara amalan yang sangat dianjurkan menurut pertimbangan agama ialah amalan batiniah yang dilakukan oleh hati manusia. Hati merupakan hakikat manusia, sekaligus menjadi proses kebaikan dan kerosakannya. 
 
Apabila hati seseorang itu sudah menjadi keras, maka ia susah hendak memahami dan mengamalkan tuntutan agama, malahan mereka tidak akan menerima kebenaran walaupun mereka mengetahui hakikat kebenaran. Sebagai contoh ramai orang tidak solat walaupun mereka mengetahui kewajipan solat.  Betapa ramai remaja yang mendedahkan aurat mereka di khalayak ramai sedangkan mereka mengetahui kewajipan menutup aurat. Antara sebab kerasnya hati seseorang itu ialah:

* Tertipu dengan keseronokan dan tipu daya dunia yang hanya sementara.

 Orang yang kurang cerdik akan menjadikan dunia sebagai matlamat kehidupan mereka. Sedangkan dalam Islam, matlamat kehidupan seseorang individu itu ialah akhirat yakni untuk mencari keredhaan Allah s.w.t semata-mata.

* Silap memilih kawan sehingga mereka berkawan dengan orang-orang fasik
. Seseorang itu akan berada pada agama kawannya. Sekiranya ia berkawan dengan penjual minyak wangi maka sekurang-kurangnya ia juga akan berbau wangi, begitu juga sekiranya ia berkawan dengan tukang besi sekurang-kurangnya ia akan terkena percikan bunga api.

* Berterusan melakukan maksiat atau dosa tanpa ada usaha untuk bertaubat.
 Setiap kali seseorang itu melakukan satu dosa maka Allah akan titikkan dengan satu titik hitam pada hatinya. Sekiranya ia bertaubat maka titik hitam itu akan ditarik balik, tetapi sekiranya ia tidak bertaubat maka pada akhirnya seluruh hatinya akan dilitupi oleh kegelapan & tidak nampak kebenaran atau hidayah yang diturunkan oleh Allah SWT.

*Dalam Shahih Bukhari & Muslim disebutkan Nabi SAW bersabda,
Ketahuilah sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal darah, apabila dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan apabila dia rosak maka rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu ialah hati.”

Disediakan oleh :
Unit Research & Development (R&D),
Unit Pengetahuan & Bimbingan,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 2012/2013.