Rabu, 25 Mac 2015

BAHTERA PENYELAMAT PENDAKWAH MASA KINI

  

BAHTERA PENYELAMAT  PENDAKWAH MASA KINI


Pendakwah merupakan pewaris kerja yang mulia disisi Allah SWT, menyambung risalah dakwah Nabi Muhammad SAW, menyeru manusia menegakkan syariat Allah SWT dimuka bumi ini, sanggup mengorbankan segala harta dan masa untuk mendapat keredaan Allah SWT melalui jalan dakwah, bahkan ramai dikalangan pendakwah telah menemui penciptanya dengan meninggalkan kesan-kesan yang bermakna buat umat manusia.


Justeru itu, pendakwah tidak lepas dari diuji dan menerima tribulasi daripada manusia, dan yang lebih berhak memberi ujian tesebut ialah Allah SWT. Ini adalah kerana bayaran yang sangat mahal dari sang pencipta di akhirat kelak, dan kemanisan iman itu dirasai oleh pendakwah. Mengatakan kita telah beriman, memerlukan dalil. Hal tersebut tidak semudah hanya di lisan, tetapi perlukan amal yang mendorong kebenaran iman tersebut. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ankabut ayat kedua yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji ?”. Maka, ujian dan tribulisasi seorang pendakwah itu sangat banyak dan hebat. Mafhum hadis Nabi SAW : Penyakit umat terdahulu, hasad dan dendam, dendam tersebut ialah umpama pisau cukur yang mencukur agamanya. (Riwayat Baihaqi)

SIFAT-SIFAT  PENDAKWAH YANG BERIMAN :

Peringkat keazaman pendakwah tidak sama seperti manusia biasa, mereka diwajibkan untuk melebihi dengan banyak peringkat  dari manusia biasa.



BAHTERA PENYELAMAT SEORANG PENDAKWAH :
Ketahuilah, bahawasanya pendakwah itu diibaratkan meredah lautan luas, dan mengharungi pelbagai pancaroba dan ombak yang memukul. Maka pendakwah itu memerlukan sebuah bahtera yang kukuh untuk merentasi lautan itu.
*Rujukan : Kitab Qawaribun Najah Fi Hayati Du’at

DISEDIAKAN OLEH :
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR
SESI 2014/2015

Ahad, 1 Mac 2015

RISALAH DAKWAH : Keistimewaan Syariat Islam



KEISTIMEWAAN SYARIAT ISLAM

Hakikat kehidupan manusia pada hari ini, mereka sangat memerlukan kepada suatu prinsip yang dikenali sebagai undang-undang ataupun peraturan, sama ada yang telah ditetapkan oleh sang pencipta kepada setiap hambaNya, mahupun yang direka sendiri oleh manusia. Era global dan arus semasa membuatkan manusia tertanya-tanya apakah masih relevan untuk diaplikasi peraturan Islam, atau mereka hanya perlu bergantung dan percaya kepada peraturan yang direka sendiri oleh kemampuan manusia yang terbatas.

Syariat Islam mengajar manusia erti sebenar sifat kehambaan diri kepada Penciptanya, serta menjauhkan diri daripada sifat takabbur. Peristiwa umat terdahulu telah menjadi bukti yang kukuh terhadap kesan buruk akibat menolak syariat Islam. Undang-undang Islam ini menitik-beratkan nilai ketuhanan, kemanusiaan serta keadilan yang tiada tolak bandingnya, disamping memiliki keistimewaan yang tiada pada peraturan ciptaan manusia.
1. Rabbani : Segala hukum-hakam di dalam syariat Islam telah jelas disusun Allah SWT, Tuhan sebaik-baik pencipta, sebaik baik pentadbir dan tuhan bagi sekalian alam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan denganNya”.  

2. Universal : Cara hidup manusia tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan jelas menolak ketaksuban, penindasan, dan kasta. Akan tetapi, manusia itu sama dan yang membezakannya adalah taqwa. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

3. Lengkap : Syariat Islam merangkumi segala aspek kehidupan manusia bermula dari penciptaan manusia, kemudian dari sudut kemasyarakatan dan individu, kemudian dari sudut pegangan seperti aqidah, ibadah dan akhlak, undang-undang umum dan jenayah, kaedah ekonomi, hubungan kenegaraan atau apa yang berkaitan pemerintahan, serta optimis kepada masyarakat yang maju. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan kami turunkan kepada kamu kitab Al-Quran menjelaskan tiap- tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan bagi orang Islam”.

4. Pembaharuan (Tajdid) : Menerima pembaharuan mengikut keadaan semasa, kemajuan zaman dan tempat. Seperti contoh hukum-hakam muamalat, masalah undang-undang, ekonomi, dan hubungan dengan luar negara. Akan tetapi, tidak semua sudut undang-undang Islam menerima pembaharuan. Perkara yang telah jelas dalilnya termaktub dalam Al-Quran, seperti perkara aqidah, rukun Iman dan Islam, bab pengharaman arak, jenayah, tetap mengikuti kaedah peraturan yang Allah tetapkan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil”.

5. Bandingan Dunia dan Akhirat : Syariat Islam sangat menitik-berat aspek kehidupan manusia, tidak hanya mengejar dunia, bahkan menjadikan akhirat sebagai tujuan utama. Syariat ini jelas membezakan keperluan manusia dalam menetapkan tujuan hidupnya di dunia ini, tidak seperti para rahib dan penganut agama selain Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah, dan mendirikan solat, dan membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari (Kiamat) yang di hari itu hati dan penglihatan menjadi goncang”.

6. Bandingan Kepentingan Peribadi Dan Awam : Disamping perjalanan hidup manusia di muka bumi, aspek keperluan setiap individu hidup bermasyarakat merupakan fitrah yang diciptakan Allah SWT. Oleh itu, syariat menggariskan panduan keperluan setiap individu tersebut ialah, hak kebebasan, hak pengetahuan, hak persamaan, hak pemilikan, dan hak kemuliaan. Keperluan bermasyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga agama Islam itu sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lainya, mereka menyuruh membuat kebaikan dan mencegah berbuat kejahatan”.

7. Mudah : Islam merupakan pegangan yang sangat utuh dan tidak boleh dipertikaikan, kerana segala undang-undangnya tidak membatasi keupayaan manusia dan tidaklah ditanggung berat oleh makhluk sekalian alam. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.

8. Penyempurnaan : Syariat Islam datang sebagai menyempurnakan syariat-syariat umat terdahulu dan menyempurnakan dakwah para nabi dan rasul. Ia merupakan syariat yang terakhir dan disempurnakan oleh nabi yang terakhir, iaitu junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang Telah kami wahyukan kepadamu dan apa yang Telah kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa”.

9. Asli dan Kekal : Sumber syariat Islam adalah sumber yang tulen serta kekal. Perkara ini dibuktikan dengan kehebatan Al-Quran yang tidak boleh dipesongkan dan tiada setaraf dengannya. Al-Quran dan As-Sunnah menjadi teras dan sumber utama dalam syariat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :
Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan kamilah yang menjaganya”.

10. Adil : Syariat Islam menghukum manusia dengan adil dan saksama, dari segi harta, nyawa, akal dan harta benda. Islam tidak membimbing manusia kepada aspek keperluan akhirat sahaja, bahkan mejadikan dunia sebagai medan persediaan menuju akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi Al Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak pula yang dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaanNya ke jalan keselamatan, dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izinNya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus”.

*Rujukan daripada kitab karangan Syekh Abdullah Nasih Ulwan :
   “الإسلام شريعة الزمان و المكان

Disediakan Oleh : Unit Dakwah dan Tarbiah  Badan Kebajikan Pelajar – pelajar Johor di Mesir 2014/2015

Khamis, 24 April 2014

KITA HARUS TAHU...BKPJM.




Kita harus tahu bahawa Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) dahulunya dinamakan Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ).
Kita harus tahu bahawa BKPJM yang diasaskan dengan nama TDPIJ, telah ditubuhkan pada tahun 1970 untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Johor yang datang menuntut ilmu di Mesir. Setelah itu, peranannya diperluaskan lagi dengan mengadakan kelas-kelas pengajian, dan seterusnya majlis-majlis sambutan untuk anak-anak Johor di Mesir.
Kita harus tahu bahawa pada 1976, TDPIJlah yang memulakan usaha untuk mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk pelajar Johor di Mesir (Asrama Penuntut Johor-APJ). Antara langkah yang dilaksanakan ialah membuat pungutan derma dari ahli, masyarakat di tanah air, jemaah haji, dan lain-lain di samping menghantar beberapa wakil diketuai saudara Mudasir Bin Mestar untuk bertemu YAB Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Othman Bin Mohd Saat.
Kita harus tahu bahawa setelah 5 tahun TDPIJ berpenat lelah bersengkang mata mencari dana bagi mendapatkan sebuah bangunan khusus untuk anak Johor, Alhamdulillah akhirnya pada 13 Julai 1981, sebuah rumah di Hayyu Thamin berjaya dibeli dari tuan rumah yang asal bernama Faiq Shihab Bisakhrun, dan usaha membaikpulih bangunan tersebut dimulakan.
Kita harus tahu bahawa Asrama Pelajar Johor Thamin (APJ 8) merupakan hasil titik peluh generasi terdahulu di bawah TDPIJ.
Kita harus tahu bahawa pada 1982, APJ 8 dirasmikan oleh DYMM Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail. Baginda mencemar duli dengan berkunjung ke Mesir diiringi rombongan Kerajaan Johor diketuai YAB Dato Abd Ajib Bin Ahmad. TDPIJlah yang menyambut mereka, menguruskan mereka, dan TDPIJ jugalah yang menjadi pelaksana program perasmian ketika itu.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 yang didirikan adalah merupakan hasil sumbangan ahli BKPJM, sumbangan orang ramai yang dicari oleh BKPJM, dan sumbangan kerajaan Johor sendiri.
Kita harus tahu bahawa satu persetujuan telah diadakan ketika itu, bahawa segala perkara yang berkaitan dengan APJT, diletakkan di bawah pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dengan dikendalikan oleh BKPJM.
Kita harus tahu bahawa BKPJM telah ada sebelum adanya APJ 8, dan BKPJMlah yang memulakan usaha mendapatkan APJ 8, dan BKPJMlah yang dipertanggungjawabkan dengan pengendalian APJ 8.
Kita harus tahu bahawa BKPJM ada hak untuk mempunyai pejabat di APJ 8, kerana BKPJM punca APJ 8 wujud, dan BKPJMlah yang selayaknya mengendalikannya, bukannya mana-mana persatuan lain.
Kita harus tahu bahawa APJ 8 merupakan jasa peninggalan generasi terdahulu yang menjadi hak kita. Jasa mereka, hak kita.
Kita harus tahu sejarah kita, kerana BKPJM Keluarga Kita.

"THAQAFAH CEMERLANG KESATUAN GEMILANG"
"MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI"






Khamis, 3 April 2014

RISALAH THAQAFAH | "25,000"





MUHASABAH SESAAT :

NILAI DI ATAS MERUPAKAN JUMLAH WANG YANG TELAH AYAH PERUNTUKKAN UNTUKMU SETIAP TAHUN. AYAH TIDAK MENAFIKAN TANGGUNGAN AYAH UNTUK KAMU LEBIH BANYAK BERBANDING ADIK BERADIK KAMU YANG LAIN. BUKAN KERANA AYAH PILIH KASIH, TAPI KERANA AYAH CINTAKAN ISLAM, DAN KAMULAH CINTA AYAH ITU.
PADA SUATU HARI, IBU MENYATAKAN HASRAT UNTUK MENZIARAHI KAMU DI MESIR, UNIVERSITI AL-AZHAR KEBANGGAAN ISLAM. IBU TERLALU RINDUKAN ANAKNYA. KERANA SAYANG, IBU SANGGUP MENGIKAT PERUT SEPANJANG TAHUN DAN MERAHSIAKAN KEBERANGKATANNYA KE BUMI ANBIYA'.

IBU  PULANG KE MALAYSIA DENGAN CERMIN MATA HITAM.
AYAH SANGKA IBU MAHU BERGAYA MENGIKUT ARUS SEMASA. NAMUN, AYAH DIAM MEMBISU. MATA IBU SEAKAN BERBICARA.

IBU MULA BERCERITA, IBU KATA :

1.       Anak ibu solatnya culas, akhir waktu, doa untuk ibu dan ayah pendek sejengkal, hidup segan mati tak mahu.

2.       Anak ibu sedekah segenihnya untuk 'Doritos' lebih kerap berbanding kepada yang memerlukan.

3.       Anak ibu jarang-jarang ke kuliah, sebabnya rapuh, ibu risau kau jatuh.

4.       Anak ibu suka mengulangkaji komik dan manga. One Piece dan Naruto menandingi Sahih Bukhari, anak ibu...

5.       Anak ibu suka hadir Talaqqi dengan syeikh, tapi hakikatnya anak ibu tidur sepanjang pengajian.

6.       Anak ibu ada Facebook dan Twitter, Jangan Kau Dekati Zina, katanya. Tapi tatkala keseorangan, anak ibu mesra dan manja bermesej dengan ajnabi yang bukan hak.

7.       Anak ibu suka online dan melihat kecantikan Dajjal laknatullah, mengagumi pembedahan plastik, menonton maksiat. sayang ibu, Jong Kook Oppa akan tua ditelan zaman, Minho Oppa akan cacat ditenung Malaikat.

8.       Anak ibu suka call yang bukan hak, rather than call ibu dan ayah kandung yang saban hari merindukan anaknya. "Jangan risau, ibu sakit sikit je, anak ibu sihat?"

9.       Anak ibu selalu shopping mengikut kehendak, bukan keperluan. Pantang nampak cantik, grab. Pakai sekali, bas. "Takpe, nanti ayah akan usahakan duit saku lebih untuk bulan ni."

1.    Anak ibu pergi kuliah, ibu nampak anak ibu duduk di belakang. Datangnya lewat, Adabnya kurang. ibu tengok, anak ibu macam tak faham ammi, ibu apatah lagi. Fokusnya pada whats app dan angry bird. Sambil menyelam minum air, hebat anak ibu. Selesai kuliah, terus pulang ke rumah. "Sayang ibu, kenapa anak ibu tak stay back after class, make a discussion?"

11.    Anak ibu jarang baca al-Quran. Madah al-Quran tahfiz satu juzu’ sahaja satu tahun, bukan banyak. Ibu risau…

12.    Anak ibu berjaga malam, ibu ingat anak ibu nak qiamullail, rupanya anak ibu habiskan PES sampai final. Malam minggu sibuk berhalaqah dengan kawan di rumah sewa, study skill untuk menang dalam 'CS' dan 'GTA' katanya. Musykil ibu, pelajaran apakah itu? Counter Strike dan Grand Thief Auto silibus Azhari ke? Halaqah GTA, Halaqah CS. Duit bayar bil elektrik melambung nak...

13.    Anak ibu rajin tadah air, katanya untuk simpanan waktu ketiadaan air, tapi anak ibu tak rajin tutup pili air, biar air melimpah ruah, "Nanti ayah bayarkan katanya."

14.    Anak ibu  suka selesa, ke mana-mana sentiasa dengan teksi, bukankah tremco lebih jimat?

15.    Anak ibu suka pasang earphone, ibu harap anak ibu dengar something pure and divine, Baqarah misalnya, tapi anak ibu dengar something hard and wasted, lagu yang liriknya menongkah arus acuan Rasulullah S.A.W.

SAHABATKU, SETANDINGKAH L.E 25,000 PENGORBANAN AYAH DENGAN USAHA KITA DI BUMI MUSA DAN HARUN INI? DITAMBAH TANGGUNGJAWAB AYAH DAN IBU PADA ADIK-ADIK YANG LAIN, TERGAMAKKAH KITA MENSIA-SIAKAN CITA DAN CINTA AYAH SERTA IBU?
JEJAK SIAPAKAH YANG SEDANG KAU TURUTI SEKARANG INI? PEMILIK TONGKAT ATAU PEMILIK PIRAMID?

SAHABATKU, AKU SAYANG KAMU...  CERITA ITU TENTANG TEMANKU. AKU BERDOA TIADA SEORANG PUN DARI KALANGAN KITA SEUMPAMA ITU.

AKU TAK NAK AYAH DAN IBU KALIAN MENANGIS KERANA SIKAP KITA,  ALPA DAN SAMBIL LEWA

BANGKITKAN KEMBALI SELF-ESTEEM YANG DAHULUNYA HEBAT DAN MEGAH ITU

BINA AZAM BARU – BINA IMPIAN BARU – BINA CITA-CITA BARU

BACK – TO – CAMPUS

FIGHTING! BERJUANG HINGGA KE TITISAN DARAH YANG TERAKHIR



Jumaat, 26 April 2013

Kisah Imam Abu Hanifah dan Dahari Al-Yahudi.



Pada zaman Abu Hanifah, terdapat seorang Yahudi daripada aliran Dahari yang telah berdebat dan mengalahkan kesemua ulama Islam ketika itu melainkan Hamad, iaitu guru Abu Hanifah. Lalu beliau mencabar Hamad untuk berhujah dan Hamad pula meminta tempoh selama satu malam.
Ada yang mengatakan bahawa Dahari adalah penganut fahaman muktazilah, manakala guru kepada Imam Abu Hanifah ialah Imam Ahmad ibnu Hambal.
Keesokan harinya, Imam Abu Hanifah telah datang menemui gurunya dan mendapati gurunya sedang duduk berdukacita. Lalu dia bertanya kepada Hamad tentang punca kesusahan hatinya. Gurunya memberitahu bahawa dia dicabar untuk berhujah dgn Dahari dan pada malamnya dia bermimpi melihat sebuah pokok yang besar serta banyak buahnya. Tiba-tiba keluar dari satu penjuru seekor khinzir yang memakan buah, daun dan ranting pokok tersebut melainkan batangnya saja. Kemudian, keluar seekor harimau dari umbi pokok itu dan menerkam khinzir tersebut sehingga mati.

Berkata Abu Hanifah: “Sesungguhnya telah diajar ilmu takbir mimpi kepadaku. Mimpi itu adalah kebaikan untuk kita dan keburukan untuk musuh kita. Sekiranya kamu izinkan aku mentafsirkan, nescaya aku takbirkannya.” 

Setelah diberi keizinan, lalu Abu Hanifah berkata: “Bermula kebun itu adalah agama Islam, pokok kayu yang berbuah itu adalah para ulamanya, batang pokok yang tinggal adalah engkau, khinzir itu adalah Dahari, dan harimau itu adalah aku. Lalu aku berjalan dengan engkau dan dengan izin engkau, maka berhujahlah aku dengannya.”

Kemudiannya Abu Hanifah yang masih kecil lagi ketika itu pun berjalan bersama Hamad dgn memegang jubah gurunya dan jubahnya ke masjid untuk berhujah dengan Dahari.

Di majlis perdebatan tersebut, Dahari telah naik ke atas mimbar dan mengemukakan soalan kepada Abu Hanifah yang telah menyahut cabarannya. Berikut dkemukakan dialog perbahasan antara Abu Hanifah dengan Dahari:

Dahari: Adakah Allah SWT itu wujud?

Abu Hanifah: Bahkan.

Dahari: Di mana Dia?

Abu Hanifah: Dia tidak bertempat.

Dahari: Bagaimanakah suatu benda yang maujud (ada) itu tidak bertempat?

Abu Hanifah: Dalil tersebut ada pada diri kita. Bukankah pada diri kita ada Roh? Jadi dimanakah terletaknya roh, adakah di kepala, di perut atau di kaki kamu? Di dalam air susu ada lemak, jadi dimanakah terletaknya lemak itu? Adakah di atas ataupun di bawah? Jadi begitulah Allah SWT yang tiada bertempat.

Dahari: Apakah yang terdahulu daripada Allah SWT dan apakah yang terkemudian daripada-Nya?

Abu Hanifah: Dalilnya terdapat pada diri kita. Apakah yang terdahulu daripada ibu jari dan apakah yang terkemudian daripada jari-jari kelingking? Maka tiada suatu pun yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya. Demikianlah Allah SWT, tiada sesuatu yang terdahulu dan terkemudian daripada-Nya.

Dahari: Tinggal satu soalan lagi daripada aku. Apakah pekerjaan Allah SWT sekarang?

Abu Hanifah: Sesungguhnya kita sepatutnya yang menjawap berada di atas mimbar dan yang bertanya duduk di bawah. Sekiranya engkau sanggup bertukar tempat maka barulah aku akan menjawap soalan engkau.

(Selepas bertukar tempat, maka Dahari bertanya soalan dari bawah dan Abu Hanifah menjawapnya dari atas mimbar) 

"Pekerjaan Allah SWT sekarang ialah menjatuhkan yang batil seperti engkau dan menaikkan yang hak seperti aku!" (Maka patahlah hujah Dahari).. Wallahu a'alam..

======================================

*Cerita ini adalah apa yang saya dapat melalui khutbah Jumaat di Masjid Abdeen pada tarikh 26 April 2013. Sebagai perkongsian bersama, dan semoga ianya bermanfaat kepada kita selaku abna'ul harakah, lebih lagi fatrah PRU13 dan imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi. :)


!! أن الإسلام سينتصر قريباً في الأرض ~


Yang HAK tetap akan jadi HAK, dan yang BATIL pasti akan tewas walau bagaimana sekalipun kebatilan tersebut dipertahankan !!
"Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan"

Muhammad Amin bin Sailan @ Sazali,
Timbalan Yang DiPertua (Lajnah Perancang)
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir
sesi 2012/2013.