Selasa, 13 November 2012

BULAN MUHARRAM



Muharram adalah satu dari empat bulan yang disebut bulan haram di dalam al-Quran. Yang disebut Bulan Haram ialah: Muharram, Rajab, Dzulqaidah dan Dzulhijjah. Sejak zaman dahulu ( bahkan zaman jahiliyah ), keempat bulan itu sudah ditetapkan keharamannya kerana ia adalah bulan yang diharamkan berperang dan pertumpahan darah. Hal ini termaktub dalam al-Quran diantaranya pada ayat:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram.. 
[QS Al-Maidah (5) : 2]

Menurut riwayat, ternyata di bulan Muharram terjadi kejadian-kejadian bersejarah yang berkaitan dengan kisah-kisah para nabi. Kejadian-kejadian itu antara lain:

·         Taubat Nabi Adam diterima oleh Allah
·         Nabi Idris diangkat ke langit
·         Bahtera Nabi Nuh berlabuh setelah peristiwa banjir
·         Nabi Ibrahim dilahirkan, diangkat menjadi rasul dan diselamatkan dari api
·         Nabi Ya’qub dikembalikan penglihatannya
·         Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara
·         Nabi Musa diselamatkan dari kejaran Fir’aun dengan melintasi laut merah yang terbelah
·         Nabi Daud diterima taubatnya oleh Allah
·         Kembalinya anugerah kerajaan Nabi Sulaiman
·         Nabi Ayyub diuji dengan penyakit, lalu disembuhkan
·         Nabi Yunus keluar dari perut ikan
·         Nabi Isa diselamatkan (di angkat) dari dikejar orang-orang yang ingin menyalibnya


Begitu banyak peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam yang menunjukkan bahawa bulan Muharam ini penuh dengan keberkatan. Pada bulan Muharam, disitu ada amalan-amalan yang sunat dilakukan. Diantaranya :

Berpuasa:

Ahli kitab seperti yahudi malah menjadikan tanggal 10 muharram (Hari Asyura) sebagai hari kemuliaan dan kebesaran,  dan mereka berpuasa sebagai tanda mengingati kisah Nabi Musa selamat dari kezaliman Firaun. Di dalam perkara ini, oleh kerana golongan Yahudi berpuasa pada 10 Muharam, ada hadis nabi yang menyatakan sunat berpuasa pada 10 Muharam tetapi mestilah berpuasa pada sehari sebelumnya atau  sehari selepasnya bagi membezakan daripada amalan orang Yahudi.


Daripada Ibnu Abbas berkata; sabda Nabi SAW : berpuasalah pada hari Asyura dan bezakanlah  dengan orang Yahudi, dengan berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”.

Rasulullah SAW  berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan berpuasa pada hari tersebut. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari itu diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani , maka beliau SAW  bersabda: Di tahun depan Insya-Allah kita akan berpuasa pada tanggal 9. Tetapi sebelum datang tahun depan Rasulullah SAW telah wafat. [HR Muslim, Abu Daud]

Selain berpuasa pada hari Asyura ada amalan yang sunat dilakukan yang disebut di dalam beberapa buah kitab diantaranya, kitab " I'anatut Thalibin " yang dikarang oleh Sayyid Al Bakri Syatha. Amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari Asyura :

  • Banyakkan solat sunat disamping solat fardhu
  • Berpuasa pada hari ke 9 dan ke 10.
  • Menghubungkan silaturrahim.
  • Banyakkan bersedekah.
  • Bersihkan diri dari segala kekotoran.
  • Bercelak mata.
  • Menziarahi ulama'.
  • Menziarahi orang sakit.
  • Mengusap kepala anak yatim.
  • Memotong kuku.
  • Membaca surah Al Ikhlas


Apabila tiba Hari Asyura, masyarakat orang Melayu akan memasak sejenis makanan yang disebut Bubur Asyura. Adapun amalan ini adalah berasal daripada apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh seperti yang disebut didalam kitab "Nihayatuz Zain" karangan Syeikh Nawawi Al Banteni dan di dalam kitab "Nuzhatul Majalis" karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab "Jam'ul Fawaid" karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh A.S berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura', maka berkatalah ia pada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih". Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang baqila' iaitu kacang ful, satu genggam kacang adas, ba'ruz, hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : "Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.”


Semoga kita dapat merebut peluang mengamalkan apa yang sunat dilakukan pada bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini. Dengan kehadiran tahun baru 1434 Hijrah, dapat kita memperbaharui niat dan azam supaya kehidupan kita pada tahun ini lebih baik dan lebih bermakna dari tahun yang sebelumnya.


Disediakan oleh :
Unit Dakwah Dan Tarbiah BKPJM 2012/2013


Sabtu, 10 November 2012

MUSYRIF DAN KESELAMATAN



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Al-Baqarah:195).

Nabi SAW juga bersabda “Janganlah melakukan perkara yang memudharatkan diri kamu dan diri orang lain.” (riwayat Ibnu Majah).

Baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan kes-kes yang berlaku di kalangan mahasiswi Malaysia baik pelajar pengajian Islam mahupun pelajar perubatan yang menerima gangguan seksual dari masyarakat arab di Mesir ini. Perkara ini bukanlah satu perkara yang asing kerana seringkali berlaku di kalangan mahasiswa dan mahasiswi. ‘’Malang tidak berbau” kata-kata yang kebiasaan kita dengar tetapi tidak dititikberatkan oleh golongan tertentu.

Ayat al-Quran dan hadis di atas menunjukkan kewajipan menjaga diri dari sebarang bahaya yang boleh memudharatkan diri sendiri mahupun orang lain. Perlu diberi lebih penekanan akan keselamatan mahasiswi kerana kes yang berlaku di kalangan mahasiswi lebih banyak berbanding mahasiswa. Memandangkan fitnah yang berlaku pada diri wanita bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya diri perempuan itu adalah aurat (boleh membawa kepada fitnah). Apabila perempuan itu keluar maka syaitan akan mengawasi dan menghiasi dirinya (sehingga lelaki tertawan dan membuat maksiat)”
( Riwayat Tarmizi)

Dalam Al-Quran ada dijelaskan tentang adanya kejahatan-kejahatan yang banyak pada waktu malam. Allah S.W.T berfirman :
“Dan Aku berlindung dari kejahatan malam apabila ia berlabuh”surah Al-Falaq.Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda “Kalaulah manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam”. 
Ini menunjukkan bahawa waktu malam adalah sangat berbahaya terutama kepada perempuan yang dijadikan Allah SWT kurang dari segi kekuatan fizikal berbanding lelaki. Kurangnya kekuatan fizikal memerlukan bantuan lelaki untuk melindungi dan membantu mereka.
Dalam surah Al-Qasas ayat 23 dan 24 ada disebut kisah dua orang anak perempuan Nabi Syuib yang berusaha untuk mengambil air namun tidak berjaya kerana ramainya orang.Lalu datanglah Nabi Musa A.S membantu mereka. Dalil ini menunjukkan bahawa bilangan perempuan yang ramai juga memerlukan bantuan lelaki dalam keadaan-keadaan tertentu.

Dengan itu, Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM menyediakan sistem musyrif kepada mahasiswi pada waktu malam. Dengan adanya musyrif sedikit sebanyak dapat membantu dan melindungi mahasiswi dari sebarang gangguan. Justeru, mahasiswi yang keluar malam tanpa musyrif mendedahkan diri sendiri kepada bahaya dan seterusnya akan membawa kepada kemudharatan diri sendiri.


Disediakan oleh :
Unit Kebajikan dan Tabung Derma BKPJM 2012/2013


Sabtu, 14 April 2012

Kejadian Gempa Bumi Di Aceh



ACEH, 11 April – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, mencetuskan panik di kalangan penduduk yang bergegas keluar dari kediaman masing-masing bimbang tsunami pada 2004 berulang.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono berkata, tiada kecederaan dan kerosakan harta benda dilaporkan akibat bencana itu yang berlaku pada kira-kira pukul 4.38 petang waktu tempatan. “Tidak ada ancaman tsunami, walaupun kita berjaga-jaga,” katanya pada sidang media.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami di kawasan sekitar Lautan Hindi, namun memaklumkan ancaman itu telah berkurangan tetapi ia masih dikuatkuasakan. Bagaimanapun, Pusat Amaran Tsunami Pasifik itu kemudiannya menarik balik amaran tsunami di Lautan Hindi tidak lama kemudian.

‘‘Ia (gempa) tidak membawa tsunami yang besar. Namun, kita masih memantau keadaan itu kerana tsunami terbentuk menerusi ombak,’’ kata seorang Geofizik, Victor Sardina yang beribu pejabat di Hawaii.

Satu lagi gempa kuat 8.8 skala Richter dilaporkan berlaku di daerah Simeulue, Aceh kira-kira pukul 5.43 petang ini (6.45 waktu Malaysia). Ia merupakan gempa susulan kejadian pertama yang berlaku pukul 3.38 petang di daerah yang sama. Sebelum itu, gempa susulan dengan kekuatan 6.5 skala Richter turut berlaku pada pukul 4.28 petang.

Di Thailand, tsunami kecil berukuran 10 sentimeter melanda kawasan Koh Miang dekat Phang Nga. Indonesia, Thailand, Malaysia, Sri Lanka dan India yang pernah terjejas akibat tsunami ekoran gempa bumi kuat berukuran 9.1 pada skala Richter pada 2004 kemudiannya bertindak mengeluarkan amaran tsunami sejurus gempa berlaku.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak. Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang. Walaubagaimanapun, amaran Tsunami yang dikeluarkan bagi negeri Perlis, Kedah termasuk Langkawi, Pulau Pinang dan Perak telah ditarik balik pada pukul 10 malam, kata Jabatan Mateorologi Malaysia (JMM).

-Utusan Malaysia, 11 dan 12 April 2012-



PMRAM cawangan Johor, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) prihatin terhadap kejadian gempa yang berlaku di luar pantai Sumatera. Kami berdoa agar penduduk-penduduk Aceh dan kawasan sekitarnya terselamat dari bencana-bencana yang tidak diingini terus berlaku. Semoga tanah air kita, Malaysia dan Negara-negara lain yang turut merasai gegaran sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat Allah.

Walaupun kejadian Tsunami besar tidak berlaku, tetapi ingatlah bahawa bencana alam seperti gempa bumi yang berlaku juga merupakan salah satu tanda kiamat hampir berlaku.

عن أبي هريرة أن النبي صلى الله عليه و سلم قال: (لا تقوم الساعة حتى يقبض العلم و تكثر الزلزال و يتقارب الزمان و تظهر الفتن و يكثر الحرج و حتى يكون فيكم المال فيفيض) رواه البخاري



Disediakan oleh:

Unit Kebajikan dan Tabung Derma, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2011/2012

Sabtu, 24 Mac 2012

Hukum Menziarahi Kubur Bagi Wanita


Soalan - Ziarah kubur adalah hal yang disunnahkan, apakah hal ini khusus bagi lelaki atau juga bagi wanita?

I. KEBENARAN UNTUK ZIARAH KUBUR (TERMASUK BAGI WANITA)

Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya dahulu aku melarang kalian berziarah kubur, maka sekarang ziarahilah kubur [karena yang demikian itu dapat mengingatkan kalian akan akhirat] [dan dengan ziarah kubur dapat menambah kebaikan]. [Barangsiapa yang berkehendak untuk menziarahinya, maka ziarahilah, dan jangan kalian mengucapkan kata-kata yang batil]."(HR. Muslim, Abu Daud, Al-Baihaqi, An-Nasai dan Ahmad)

II. MENGAPA WANITA TERMASUK DALAM MEMBENARKAN UNTUK ZIARAH KUBUR ?

Anjuran tersebut umum, bagi  lelaki ataupun wanita alasannya:

(1). Keumuman sabda Rasulullah tersebut diatas (tidak dibedakan antara lelaki & wanita)

(2). ‘Illah (sebab) disyariatkannya ziarah kubur yaitu sabda Nabi: " ..Karena yang demikian dapat melunakkan hati, membuat menitiskan air mata, serta mengingat akhirat". Yang demikian ini perlu bagi lelaki dan wanita.

(3). Nabi telah memberi izin kepada kaum wanita untuk melakukan ziarah kubur, seperti dalam hadis yang dikisahkan Ummul Mukminin Aisyah ra.

Dari Abdullah bin Abi Malikah r.a berkata: "Suatu hari aku menjumpai Aisyah dari perkuburan, lalu aku bertanya: Wahai Ummul Mukminin, dari manakah engkau? Ia menjawab, Dari kubur Abdurrahman bin Abi Bakar ra. Lalu aku bertanya lagi: Bukankah dahulu Rasulullah melarang menziarahi kubur? Aisyah menjawab: Sesungguhnya Rasulullah telah membolehkan untuk menziarahi kubur (HR. Ibnu Majah)

(4) Taqrir (persetujuan sikap/perbuatan) Nabi saw ketika baginda melewati  perkuburan dan dilihatnya seorang wanita tengah menangis di atas kuburan, kemudian baginda menasihati: Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah." (HR. Bukhari dan lainnya)

Rasulullah saw tidak mengingkari perbuatan ziarah kubur wanita tersebut, baginda hanya menasihatkan agar bertakwa dan bersabar, kerana wanita tersebut mengalami kesedihan yang teramat.

III. LARANGAN BAGI WANITA UNTUK TERLALU SERING ZIARAH KUBUR

Diriwayatkan hadits dari banyak sahabat bahwa Rasulullah melaknat wanita-wanita yang sering melakukan ziarah kubur. (HR. At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ahmad dan lainnya)

Imam Al-Qurthubi mengatakan: "Laknat yang tercantum dalam lafadz hadits itu ditujukan bagi wanita yang SERING melakukan ziarah kubur, melihat lafadz hadits tersebut menggunakan bentuk shiighat mubalaghah (bentuk penyangatan).

Jadi anjuran untuk ziarah kubur berlaku umum bagi laki-laki maupun wanita, adapun larangan wanita untuk terlalu sering ziarah kubur dapat diambil hikmahnya antara lain karena wanita biasanya kurang sabar dan kurang kontrol jika mengalami perasaan yang berat sehingga menimbulkan pelanggaran syariat.

IV. ZIARAH KUBUR SESUAI SYARIAT DAN ZIARAH KUBUR BID’AH

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menerangkan bahwa ziarah kubur ada 2 yaitu ziarah kubur yang sesuai syariat dan ziarah kubur bidah.

(1) Ziarah kubur yang sesuai syariat, yaitu dengan dengan mengucapkan salam bagi ahli kubur dan mendoakannya.

(2) Ziarah kubur bidah, yaitu dengan mendatangi kubur para nabi, orang-orang shalih kemudian berdoa kepada mereka, minta tolong kepada mereka dan yang sejenisnya. Hal ini tidak pernah dilakukan oleh para Sahabat bahkan hal ini dilarang oleh para ulama-ulama muslimin.(Taisirul Alam)

V. LARANGAN BAGI WANITA MENGIRINGI JENAZAH

Adapun hukum wanita mengiringi jenazah adalah terlarang (larangan ini lebih bermakna penyucian), sebagaimana hadits dari Ummu Athiyah ra:" Dahulu kami dilarang (dalam riwayat lain, telah melarang kepada kami Rasulullah) untuk mengiringi jenazah."(HR. Bukhari, Muslim dan lainnya). Wallahu Ta'ala A'alam.


Tempat kita kembali kelak.

Sumber:
1. Tuntunan Lengkap Mengurus Jenazah,karya Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albany. Cetakan Gema Insani Press.


2. Taisirul Alam-Syarh Umdatul Ahkam, karya Syaikh Abdullah Bassam.Cetakan Darul Fikr



DISEDIAKAN OLEH:
SETIAUSAHA
AKADEMI TUTORIAL BKPJM 2011/2012

BERSUMPAH TIDAK MAHU BERSETUBUH DENGAN ISTERI ( ILAK )


ILA' bermakna seorang suami bersumpah tidak akan meniduri isterinya. Dengan sumpah ini seorang isteri menderita kerana tidak dicampuri dan tidak pula diceraikan.

 Firman Allah ta'ala:

للذين يؤلون من نساءهم تربص أربعة أشهر فإن فاءو فإن الله غفور رحيم

Maksudnya: Bagi orang yang meng-ila' isterinya harus menunggu empat bulan. Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sungguh Allah Maha Penggampun lagi Maha Penyanyang.
Surah Al-baqarah:226

Didalam kitab Tafsir Munir  يؤلون  membawa makna 'qasam' yang bermakne sumpahan bagi mereka yang bersumpah tidak mahu meniduri isterinya.

-Sebab penurunan surah Al-baqarah ayat 226 ialah orang arab zaman jahiliyah menjadikan ila' sebagai satu amalan. Apabila suami meminta kepada isterinya untuk bersetubuh  tetapi ditolak oleh  isterinya maka suami akan bersumpah tidak mahu bersetubuh selama setahun atau dua tahun atau lebih.
Selain itu, dari Ibnu Majjah : satu ketika Zainab r.a telah menolak hadiah dari Rasullullah S.A.W maka rasullullah S.A.W telah meng-ila' Zainab r.a.

-Hukum ila' :  Allah ta'ala telah menetapkan tempoh ila' selama empat bulan. Apabila seorang suami telah meng-ila' isterinaya maka suami tidak boleh bersetubuh bersama isterinya selama empat bulan.


1- Sekiranya suami kembali menyetubuhi isterinya sebelum cukup empat bulan maka akan dikenakan kiffarah    sumpah ( yamin) iaitu:

-Memberi 10 orang miskin makanan yang sama seperti dia memberi ahli keluarganya.

-atau memberi orang miskin pakaiaan.

-atau membebaskan seorang hamba.

-atau sekiranya tidak mampu maka berpuasa tiga hari berturut-turut. Dari Imam Isnawi: puasa kiffarah mestilah berturut-turut.

Sekiranya suami meninggal dunia sebelum sempat melunaskan kiffarahnya,maka kiffarahnya terpundak dibahu   warisnya.

  2- Sekiranya suaminya bersetubuh dengan isterinya selepas empat bulan maka wajib baginya bertaubat      kepada Allah S.W.T.


3- sekiranya lebih empat bulan dan suami tidak menyetubuhi isterinya maka disitu ada permasalahannya:

Pendapat Imam Syafie: tidak berlakunya ila' kecuali sumpahan dengan nama Allah S.W.T.

- setelah berlalu empat bulan tanpa ada sebarang jawapan dari suami maka itu adalah tanda sisuami mahu menceraikan isterinya. Maka menurut hukum feqh jatuhlah talak satu kepada isteri secara kinayah tetapi isteri hendaklah merujuk kepada hakim untuk memastikan jatuhnya talak tersebut.


Dalam kitab Feqh Syafie Muyassar,Lafaz ila' terbahagi kepada dua:

1-lafaz  sorih: contoh "aku bersumpah dengan nama Allah,dan aku tidak akan bersetubuh dengan engkau."

2-lafaz kinayah: contoh "aku bersumpah dan tidak mahu menyentuh engkau" atau "aku tidak mahu sentuh engkau".

Maka jatuh ila' sekiranya menggunakan lafaz ini.dan selepas empat bulan,sekiranya tidak disetubuhi atau tidak diceraikan oleh suami,maka isteri hendaklah menuntut sama ada meneruskan perkahwinan atau diceraikan. Sekiranaya suami tidak memberi jawapan dan terus menyetubuhi isteri maka wajib keatasnya kaffarah yamin.


Tanda seorang suami merujuk isteri:

-Pendapat jumhur ulama' : tidak akan dikatakan rujuk melainkan dengan bersetubuh sekiranya tidak uzur.sekiranya uzur sah rujuk dengan kata-kata.

Pendapat kedua: jimak walaupun dalam keadaan sihat atau sakit (uzur).-

Pendapat ketiga: sah merujuk dengan kata-kata(lisan).-


Dalam kitab Syaikh Ibrahim albaijuri membahaskan:

konsep ila' menggunakan tempoh empat bulan sama ada sebelum cukup tempoh atau cukup tempoh. Sekirannya mahu merujuk,maka rujuklah beserta kiffarah dan sekiranya mahu menceraikan maka ceraikanlah tetapi dengan syarat talak menggunakan hakim (yang berkuasa).

Permasalahan yang dibahaskan didalam kitab kifayatul akhyar:

-  Dalam tempoh empat bulan,sekiranya sisuami gila dan akhirnya pulih kembali. Maka hukumnya sah rujuk kerana syarat rujuk adalah jimak kembali.


Kesimpulan:

-ila' tidak akan terjatuh melainkan bersumpah dengan nama Allah S.W.T.  tempoh ila' adalah selama empat bulan.sekiranya bersetubuh dalam tempoh ila' maka baginya kiffarah yamin. Dan sekiranya cukup empat bulan dan suami menyetubuhi isterinya maka wajib keatasnya bertaubat kepad Allah S.W.T.


DISEDIAKAN OLEH:SETIAUSAHA AKADEMI TUTORIAL BKPJM 2011/2012